Sunday, January 27, 2013

Kontraktor Wanita Mahu Diberi Peluang Sama Rata


Kontraktor wanita di negeri ini berharap mendapat peluang sama rata dalam membangunkan sektor binaan di Terengganu.

Pengerusi Biro Kontraktor Wanita Terengganu, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu, Syarifah Salmah Syed Alwi berkata, seramai 128 kontraktor wanita terdiri dari Kelas A hingga F terdapat di negeri ini.

Menurutnya, walaupun nisbahnya satu berbanding lima kontraktor lelaki, namun penyertaan wanita dalam bidang ini tidak sepatutnya dikira dari segi kuantiti, sebaliknya kualiti demi meningkatkan lagi ekonomi dan kedudukan mereka.

"Bukan mudah untuk kita mendapatkan projek kerana perlu bersaing dengan kontraktor lelaki yang sentiasa mendapat keutamaan menerima tender-tender baru.

Disebabkan itu, ramai kontraktor wanita sering terbantut menguruskan perniagaan. “Bukan hanya sukar mendapat tender, bayaran diterima juga lewat tetapi ia tidak bermakna kami tidak berupaya memberikan perkhidmatan terbaik setanding mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kerajaan perlu memperbanyakkan lagi bantuan terutama pinjaman modal bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti wanita dalam bidang kontraktor. Katanya, kontraktor sedia ada pula perlu membawa imej sebagai kontraktor wanita berjaya, bukan hanya membawa nama syarikat mereka tetapi jenama wanita itu sendiri dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Kita tidak mahu wanita hanya dianggap sesuai menceburi perniagaan berasakan makanan atau produk kecantikan semata-mata,” katanya.

No comments:

Post a Comment