Sunday, January 13, 2013

Liga Super - T-Team, Johor DT FC Mula Rasa Kemenangan


Peter Butler (kanan) dan Fandi Ahmad (kiri) kini boleh mengangkat muka selepas pasukan masing-masing mula merasai kemenangan pada perlawanan kedua mereka.

Namun ada sedikit perbezaan antara kedua -dua jurulatih pasukan pilihan itu kerana ternyata Fandi kurang gembira dengan prestasi anak buahnya.

Butler boleh mendabik dada membuktikan sentuhannya masih berbisa selepas skuad bimbingannya T-Team mengejutkan juara treble, Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, semalam. Bertambah manis, kemenangan itu dicapai ketika berdepan bekas pasukan yang pernah dibimbingnya dua tahun lalu.



Walaupun kegembiraan dikatakan tidak terpancar pada wajah Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim FC yang nyata kecewa dengan persembahan ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan disaksikan lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan, namun kemenangan pertama amat bermakna.

Johor Darul Takzim berjaya mencatatkan kemenangan sulung menewaskan Perak 1-0 kelmarin tetapi kejayaan itu bukan boleh dibanggakan skuad dibarisi ramai pemain berstatus bintang.

Fandi meminta pemainnya perlu mengetepikan ego masing-masing apabila bermain dalam satu pasukan, sekali gus masih perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan lebih besar pada perlawanan akan datang.

"Saya memang tidak gembira dengan persembahan yang mereka tunjukkan. Mungkin masih ada lagi pemain yang masih tidak boleh serasi dengan corak permainan kita, namun sebagai seorang profesional ia sepatutnya tidak timbul.

"Bermain menentang sembilan pemain sepatutnya memberi kelebihan kepada kita, namun saya akui biarpun kita berjaya mengawal permainan tetapi ada masa mereka (pemain) nampak gementar, banyak perkara masih boleh diperbaiki.

"Bagaimanapun, saya berpuas hati kerana berjaya mengutip tiga mata penuh," katanya sambil menegaskan Johor Darul Takzim akan terus berusaha memperbaiki kelemahan yang ada dan pasti memberi fokus dalam mencapai misi mereka.

Pada saingan Liga Super menentang Perak yang bermain dengan sembilan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelmarin, skuad Harimau Selatan gagal memanfaatkan banyak peluang dan hanya menang tipis 1-0, hasil jaringan, Aidil Zafuan Abdul Razak.

Pada masa sama, Fandi yang turut menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan memberitahu, Safee Sali tidak diturunkan dalam kesebelasan utama kerana pemain itu masih tidak 100 peratus cergas.

Mengulas mengenai keputusan itu, pengendali T-Team, Peter Butler nyata berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan anak-anak buahnya kerana berjaya mengekang asakan Kelantan sepanjang perlawanan itu.

"Saya senang sekali... Kita bermain baik hari ini dan secara teknikalnya, semuanya OK," katanya kepada pemberita semalam.

Hakikat sama turut diakui pengendali Kelantan, Bojan Hodak sambil menyifatkan pasukan tuan rumah beraksi berhak menang pada perlawanan itu.

"Pada saya, tiada siapa pun perlu disalahkan akibat kekalahan ini kerana secara keseluruhannya saya fikir kita memang beraksi kurang baik berbanding T-Team," ujar beliau.

T-Team yang turun dengan semangat membara untuk mencari gol awal, pelawat pula bermula agak perlahan dan kurang konsisten.

Kealpaan mereka akhirnya dihukum seawal minit ketujuh, apabila pemain muda The Titans, Mohd. Aizulridzwan Razali bijak menyudahkan umpanan pemain import, Caleb Folan selepas menerima hantaran silang Ahmad Syamim Yahya.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan mula memperkemaskan jentera serangan, namun masih gagal untuk menembusi benteng pertahanan tuan rumah yang mudah mematahkan serangan lawan. Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan mula memperlahankan permainan dan tidak banyak melakukan percubaan menarik.

Perlawanan juga lebih banyak berkisar di tengah padang sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil, Zulkifli Ahmad. Zulkifli turut menjadi tumpuan penonton pada perlawanan itu selepas bertindak melayangkan enam kad kuning iaitu masing-masing empat untuk T-Team dan dua untuk Kelantan.


No comments:

Post a Comment