Friday, January 4, 2013

Banjir Di Terengganu, Kelantan Semakin Pulih

Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu kini semakin pulih.

Di TERENGGANU, portal banjir negeri melaporkan 21 mangsa yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Surau Kampung Nyatuh, Setiu dijangka dibenar kembali ke rumah masing-masing petang ini, jika cuaca mengizinkan.

Di KELANTAN, portal banjir negeri melaporkan, jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan menurun kepada 38 orang setakat pukul 9 pagi ini, berbanding 45 malam semalam.

Daripada jumlah itu 15 masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Puteh, berbanding 22 malam tadi, manakala jumlah mangsa banjir di Tanah Merah kekal 23 orang.

Cuaca dilapor mendung dan kadang kala hujan lebat.

Sebelum ini dilaporkan , setakat malam semalam, jumlah mangsa banjir mencatat penurunan apabila hanya satu pusat banjir dibuka dengan menempatkan hanya 21 orang berbanding 41 orang pada petang.


Menurut portal banjir negeri, pusat penempatan Surau Kampung Nyatuh, di Setiu masih dibuka selepas pusat penempatan Dewan Sivik Batu 24 di Hulu Terengganu yang menempatkan 20 orang telahpun ditutup operasinya.

Di Kelantan, mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Kelantan meningkat kepada 45 orang semalam  berbanding 41 orang pada petang.

Menurut portal banjir negeri, jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Puteh yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang meningkat kepada 22 orang.

Jumlah mangsa banjir di jajahan Tanah Merah yang ditempatkan di Dewan Desa Taqwa Kambung Nibong kekal kepada 23 orang. Hujan kadangkala lebat dilaporkan masih berterusan.

No comments:

Post a Comment