Tuesday, January 29, 2013

PAS Takut Saringan SPRM, Tidak Jujur Kepada Rakyat


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak takut untuk berdepan saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya yang juga Pengerusi BN negeri, langkah berkenaan membuktikan parti itu bersikap jujur kepada rakyat dan pengundi. Jelas beliau, BN bukan sahaja akan menawarkan ‘winnable candidate’ kepada pengundi, malah calon berkenaan mestilah bersih.

“Dalam hal ini pun rakyat boleh lihat parti mana yang ikhlas samada PAS atau BN. BN tidak takut pada tapisan (saringan). Kita akur untuk pastikan calon kita (BN) bersih,” katanya.

Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Khas Persekolahan di Sek. Men. Keb. Seri Bandi, Kemaman semalam.

Mengenai pendirian PAS yang menolak untuk melakukan saringan dengan SPRM, Ahmad Said berkata, rakyat melihat parti itu ‘kalah awal sebelum masuk gelanggang’ kerana ia menggambarkan pemimpin PAS takut berdepan SPRM.

Ulas beliau, PAS menggunakan SPRM untuk membuat pelbagai laporan dan aduan kononnya wujud penyelewengan serta amalan rasuah yang teruk dalam pentadbiran Kerajaan BN

 Sekiranya PAS jujur kata ADUN Kijal itu, parti itu sepatutnya mendahului BN dalam perkara itu dan tidak hanya bergantung kepada saringan dalaman.

“Mungkin PAS ada kelebihan kerana penyokong mereka sudah ditarbiah bahawa semua pemimpin mereka betul. Buat apa pun semuanya betul

“Penyokong mereka ramai yang taksub kepada pemimpin, kepada tok guru,” jelas beliau.

Pada  26 Januari lalu, Ahmad Said berkata senarai calon BN Terengganu bagi pilihan raya umum ke-13  telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk melalui proses tapisan SPRM.

Katanya, sehingga ini belum ada sebarang maklumat mengenai senarai calon yang dikemukakan kepada SPRM sama ada layak atau sebaliknya.

"Kita tunggulah sehingga SPRM memaklumkan kepada kita nanti," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu semalam mengenai empat calon BN tidak layak menyertai PRU-13 selepas tapisan dibuat SPRM.

No comments:

Post a Comment