Monday, January 7, 2013

Pemandu Teksi - Ubah Persepsi Cekik Darah, Ganas

Ahmad (dua, kanan) dan Azmi memberi uniform dan menyampaikan kits kepada pengusaha kereta sewa di Kemaman dan Dungun pada majlis di MPK kelmarin.
Latihan peningkatan perkhidmatan kepada pengusaha kereta sewa akan diadakan berterusan untuk memastikan pengusaha kereta sewa menjadi duta kecil terbaik bagi mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT13).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, siri latihan peningkatan dilaksanakan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) itu penting kerana perkhidmatan berkualiti bukan hanya terletak pada kenderaan yang selesa sahaja, sebaliknya cara layanan yang disediakan menjadi keutamaan.

Menurut beliau, ia mungkin diadakan mengikut daerah bagi meningkatkan lagi keberkesanan latihan itu.

“Diharap selepas perlaksanaan latihan ini secara menyeluruh tiada lagi rungutan daripada pengguna mengenai kualiti khidmat pengusaha kereta sewa Terengganu.

"Mereka juga menggalas tanggungjawab penting mengikis tanggapan buruk orang ramai terhadap pemandu kereta sewa dan teksi di negara ini yang melabelkan mereka sebagai cekik darah dan ganas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Uniform dan Kits TMT 13 kepada pengusaha kereta sewa di Kemaman dan Dungun pada program yang diadakan di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dekat Cukai, kelmarin.

Majlis penyampaian berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri merangkap Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik.

Mohamed berkata, bagi mengikis tanggapan itu pengusaha kereta sewa di Terengganu perlu menunjukkan sikap terpuji sekali gus meningkatkan imej mereka.

Sementara itu, sebagai pemandu pelancong sempena TMT 13, mereka diharap dapat mempromosikan beberapa ikon baru di Terengganu diwujudkan YPU termasuk Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) yang terletak di Kubang Jela Manir, Kuala Terengganu.

Beliau yang juga Pengerusi YPU memberitahu, antara tarikan utama tempat itu ialah ia menjadi kota batik menempatkan 18 usahawan batik yang menjadi 'Factory Outlet Produk Batik Terengganu' serta menempatkan 'Mini Low Yat' yang mempunyai 44 usahawan komputer dan teknologi maklumat (ICT) di bawah satu bumbung.

“Untuk fasa kedua pula, KUT akan menempatkan pusat boling dan hotel bajet,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment