Effa Owona jadi sandaran Sang Penyu. |
Dengan kehadiran bekas ‘ayam tambatan’ Negeri Sembilan, Jean- Emmanuel Effa Owona, skuad kendalian E. Elavarasan dijangka tidak akan memberi peluang kepada benteng pertahanan Felda United untuk meraih mata berharga di laman sendiri.
Menurut Elavarasan, Terengganu telah membawa masuk penyerang berbisa dari Cameroon, Effa Owona dalam memantapkan lagi jentera serangan mengharungi musim baharu ini.
“Dalam perlawanan pembukaan ini, kita akan mencari peluang menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh bagi memburu tiga mata penuh, sekali gus dapat meletakkan skuad dalam kedudukan selesa pada awal saingan Liga Super.
“Trio serangan Terengganu yang diketuai Effa Owona dibantu penyerang berpengalaman Abdul Manaf Mamat dan Mohd Asha’ri Samsuddin kini sudah mula memperlihatkan keserasian,” ujarnya.
Elavarasan menambah, jika mampu meraih tiga mata pada aksi pembukaan ini, ia akan menjadi pencetus semangat buat semua pemain mengharungi saingan Liga Super sepanjang musim ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa prestasi dan disiplin anak-anak buahnya dilihat telah meningkat serta menunjukkan persefahaman yang baik sepanjang aksi pramusim baru-baru ini.
“Dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini, para pemain telah menunjukkan persefahaman dan komitmen yang tinggi dan situasi tersebut akan membantu mereka menampilkan aksi terbaik,” katanya.
No comments:
Post a Comment