Friday, January 4, 2013

Prof Dr Yahaya Ibrahim Ganti Prof Alias Daud Di UniSZA

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Khamis mengumumkan pelantikan baharu naib canselor di dua universiti iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang kosong sejak 31 Dis lalu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini berkata Datuk Prof Fauzi Ramlan dilantik sebagai naib canselor UPM yang baharu menggantikan Datuk Prof Radin Umar Radin Sohadi.

Beliau berkata Prof Dr Yahaya Ibrahim pula dilantik sebagai naib canselor UniSZA menggantikan Datuk Prof Alias Daud. "Pelantikan Fauzi dan Yahaya itu adalah untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Jan 2013 hingga 31 Dis 2015," katanya di Putrajaya.

Dari segi pencapaian akademik mereka, Fauzi pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di UPM dan Pengarah Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Pelajar di KPT sebelum ini.

Khaled berkata kecemerlangan Fauzi dalam bidang pertanian telah mendapat pengiktirafan daripada 'Japanese International Cooperation Agency' (JICA) dan ditauliahkan 'Certificate of Agriculture' oleh University of the Ryukyu, Jepun. "KPT berharap UPM akan terus memberi fokus kepada isu dan cabaran kecukupan makanan dalam konteks negara dan di peringkat global," katanya.

Khaled berkata Yahaya juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Ketua Pegawai Eksekutif di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Pakarunding Sdn Bhd sebelum ini.

Sebagai universiti komprehensif, yang mempunyai aspirasi menjayakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), KPT berharap UniSZA dapat memberi perhatian kepada aspek kualiti dan kecemerlangannya, katanya.

Sehubungan itu, Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Prof Radin Umar dan Prof Alias di atas kepimpinan dan bakti yang dicurahkan mereka semenjak dilantik Naib Canselor pada Jan 2011 dan Jan 2006.

No comments:

Post a Comment