Amri (kiri) menyumbat dua gol untuk membantu Selangor menewaskan Pahang 3-2 malam tadi. |
Kali ini Sang Penyu Rebah di Kota Singa iaitu di Stadium Jalan Besar, Singapura, kepada Lions XII Lions XII YANG mencapai kemenangan ketiga setelah mengalahkan Terengganu 2-1.
Seri dua perlawanan terdahulu dan kalah 1-2 menentang Selangor pada perlawanan aksi Liga Super Selasa lalu, bukan berita baik untuk pengurusan Terengganu.
Ini bermakna selepas empat perlawanan, Terengganu hanya mengutip 2 mata berbanding T-Team yang menang sekali dan kalah tiga kali dengan tiga mata iaitu ketika menang dengan Kelantan 1-0.
Tidak diketahui apa reaksi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selanjutnya hasil keputusan perlawana malam tadi tetapi beliau sudah menyatakan setakat ini Skuad Penyu dan T-Team sebagai "teruk".
Ahmad Said yang berkesempatan menonton perlawanan menentang Selangor yang berlangsung di Stadium Sultan Nasiruddin Shah itu sebelum ini menegaskan, banyak kepincangan dapat dikesan dalam tiga perlawanan itu yang dilihat hanya bergantung kepada penyerang import, Jean-Emmanuel Effa Owona untuk menyumbat gol.
Beliau berpendapat, Sang Penyu perlu ada 'Opportunist striker' untuk menang pada perlawanan akan datang dan tidak boleh menyenaraikan pemain cedera yang dianggap hanya 'menumpang' pasukan.
"Kita tidak boleh banding kaedah 'single striker' dengan permainan di liga luar negara kerana penyerang mereka mampu menghasilkan gol walau apa cara sekali pun, namun di sini kita gagal.
"Saya memang dimaklumkan dia (Owana) penyerang berbisa pada musim lepas, namun untuk tiga perlawanan ini saya rasa dia masih bermain sambil lewa dan banyak peluang di depan gol gagal disudahkan dengan jaringan," katanya.
Menurut Ahmad Said, dengan kemampuan dan ketinggian pemain import itu, dia sepatutnya mampu menyumbang banyak gol pada setiap perlawanan dan berharap jurulatih pasukan Terengganu, E. Elavarasan dapat berbuat sesuatu mengenai tegurannya.
Di Singapura semalam, Terengganu mendahului babak pertama dengan jaringan Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ke-32 sebelum Lions XII bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Safuwan Baharudin pada minit ke-64 dan gol kemenangan oleh Syafiq Zainal pada minit ke-74.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pasukan tuan rumah Negeri Sembilan gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila kalah 0-1 kepada Perak.
Gol Perak dijaringkan oleh Failee Ghazali pada masa kecederaan untuk membantu pasukan itu mencapai kemenangan kedua.
Sementara Selangor berjaya meleburkan rekod tanpa kalah pasukan Pahang pada saingan bola sepak Liga Super dengan kemenangan 3-2 di Stadium Shah Alam, malam semalam.
Kejayaan tipis itu membolehkan Selangor melonjak ke tangga kedua carta di belakang Pahang dan tempat ketiga oleh pasukan jemputan Singapura, Lions XII, yang sama-sama mengumpul sembilan mata selepas empat perlawanan.
Selangor bermula garang apabila penyerang veteranya, Amri Yahya berjaya menjaringkan dua gol pada minit ketiga dan minit ke-20.
Bagaimanapun, kedudukan selesa Selangor itu tidak kekal lama apabila Pahang bangkit dengan corak permainan kemas untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Fauzi Roslan (minit ke-24) dan Razman Roslan pada minit minit ke-44.
Pada babak kedua, Pahang mula menonjol dengan penguasaan bola dan mengatur serangan sebelum Selangor menyekat kemaraan pasukan pelawat itu menerusi gol kemenangan oleh Ramzul Zahini pada ke-80.
No comments:
Post a Comment