Caleb Folan (kiri) diasak pemain Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang semalam. |
Juara trebel musim lepas, Kelantan, menerima tamparan hebat pada awal musim apabila kalah 1-0 kepada pasukan kelab T-Team pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, semalam.
Keputusan tidak diduga itu sudah pasti mengundang kritikan penyokong ”The Red Warriors” apabila skuad bimbingan Bojan Hodak yang nampak tidak bermaya untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan.
Skuad The Titans yang mempamerkan semangat juang tinggi membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi rembatan cantik, Md. Aizulridzwan Razali untuk membolosi kawalan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kemenangan yang dikecapi skuad kendalian Peter James Butler itu memastikan mereka mengutip tiga mata penuh di laman sendiri pada kempen musim baharu ini.
Butler berkata, anak-anak buahnya menunjukkan keinginan dan komitmen yang tinggi untuk meraih kemenangan pada perlawanan menentang Kelantan semalam.
“Secara keseluruhan, T-Team bermain lebih baik dari aspek taktikal dan semangat juang berbanding Kelantan untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super.
“Kami merupakan sebuah pasukan yang lebih baik dan berhak mengutip tiga mata penuh. Bagaimanapun, kami masih menghormati Kelantan apabila turun ke padang,” ujarnya.
Butler berkata, T-Team tidak memerlukan nasib untuk menang kerana para pemain pasukan itu menunjukkan komitmen dan mengikut segala percaturan diberikan kepada mereka.
Berbanding di Perak, pasukannya tidak bernasib baik apabila melepaskan gol pada minit-minit akhir permainan, sekali gus terpaksa berputih mata pulang dengan tangan kosong.
Dalam pada itu pengendali Kelantan, Bojan Hodak memberitahu, beliau merasakan pasukan The Red Warriors tidak bermain dengan baik.
“Walaupun kami dapat mengawal secara taktik tetapi tidak menggunakan peluang terhidang sebaik mungkin untuk menjaringkan gol. T-Team pula berjaya menggunakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan.
“T-Team juga mempunyai kelebihan kerana hanya bermain dua perlawanan berbanding Kelantan yang mengharungi tiga perlawanan.
Tidak ada siapa yang boleh dipersalahkan dalam kekalahan ini kecuali kami,” ujarnya.
Marlon (dua dari kanan) menanduk bola ketika membantu ATM menewaskan PKNS 3-1 di Stadium Shah Alam semalam. |
Selepas tewas 0-1 kepada Lions XII pada aksi pembukaan pada Rabu lalu, skuad bimbingan B. Sathianathan tidak berdepan masalah untuk menundukkan PKNS yang beraksi tanpa penyerang import, Patrick Wleh Ronaldinho selepas dia dilayangkan kad merah pada minit ke-60.
Lebih menarik, penyerang import veteran skuad The Gladiators, Marlon Alex James mempamerkan aksi sebenar selepas meledak hatrik termasuk satu sepakan penalti pada minit kelapan, 64 dan 71.
Gol sagu hati PKNS dijaringkan oleh Mohd. Fazli Baharuddin pada minit ke-27, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim mencatat kekalahan kedua selepas tewas 1-2 kepada Kelantan pada aksi pembukaan.
Sementera itu, di Stadium Jalan Besar Singapura, hasrat Selangor untuk meneruskan kecemerlangan dalam kempen Liga Super tidak kesampaian selepas tunduk 0-1 kepada Lions XII .
Biarpun masih segar dengan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Shah Alam pada Selasa lalu, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu gagal membawa pulang sebarang mata.
Pasukan dari Singapura itu tidak mengambil masa yang lama untuk membuka jaringan hasil tandukan penyerangnya, Fazrul Nawas pada minit ke-23.
Kejayaan itu hadir apabila Fazrul bijak menyambung tandukan Baihakki Khaizan hasil sepakan penjuru Muhammad Hafiz Abu Sujad.
No comments:
Post a Comment