Tuesday, January 1, 2013

Tahun 2013 Ceriakan Rakyat Di Seluruh Negara

Golongan berpendapatan rendah dapat mengurangkan beban kehidupan mereka dengan bantuan BR1M yang akan mula di bayar pada Februari depan.
Pelbagai bantuan dan insentif bakal dinikmati segenap lapisan masyarakat di negara ini pada tahun depan hasil daripada pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 28 September lalu.

Paling menarik ialah sebahagian besar peruntukan yang dibentangkan dalam bajet tersebut akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat sama ada dalam bentuk wang tunai atau rebat cukai.

Antaranya ialah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang, Skim Rumah Pertamaku, penurunan kadar cukai pendapatan individu, bonus satu bulan gaji kepada 1.3 juta penjawat awam serta bantuan wang tunai kepada 5.4 juta pelajar sekolah.

Manfaat itu tidak termasuk bantuan dan insentif lain seperti elaun bantuan sara hidup nelayan, peningkatan pencen minimum, sumbangan kepada bekas tentera, rebat pembelian telefon mudah alih pintar 3G dan Baucar Buku 1Malaysia.

Insentif dan bantuan yang disebut itu dianggarkan melibatkan peruntukan bernilai kira-kira RM10 bilion oleh kerajaan untuk rakyat melalui Bajet 2013.

Sementara itu, pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) akan dilaksanakan bermula Februari depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata bantuan BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang.

Dalam satu kenyataan semalam,  beliau berkata ketua isi rumah yang tercicir dari senarai penerima BR1M yang lepas atau belum pernah memohon masih berpeluang berbuat demikian.

Beliau berkata sebanyak 2,684,916 permohonan baharu untuk BR1M 2.0 (BR1M) telah diterima sehingga hari ini di mana ia melibatkan 1,823,039 individu bujang manakala baki 861,877 diterima daripada isi rumah (keluarga).

"Kerajaan menggalakkan lebih ramai individu bujang memohon untuk mendapatkan BR1M 2.0. Pendaftaran akan terus dibuka sehingga satu tarikh yang diumumkan kelak," katanya. Tahun lepas, seramai 4.2 juta penerima mendapat manfaat daripada BR1M, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.

No comments:

Post a Comment