Saturday, January 19, 2013

The Titans Kalah 0-3 Sekali Lagi, Kali ini Di Gelanggang Sendiri

Penyerang T-Team, Caleb Folan diasak penjaga gawang Selangor PKNS.

Pemain T-team (tengah), Ahmad Syamim diasak oleh pemain Selangor PKNS, Mohd Faiz Mohd Isa pada perlawanan petang semalam.
The Titans atau T-Team yang bermodalkan RM6 juta tersungkur lagi. Sekali lagi T-Team ditumpaskan dengan jaringan 3-0 seperti perlawanan dengan ATM sebelum ini.

Alasannya apakah kerana ketua pasukan George Boeteng cedera tidak dapat diturunkan?

Jika baru-baru ini T-Team tumpas 0-3 di tangan ATM di Seremban, semalam di gelanggang sendiri iaitu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pun, T-Team tetap kalah.

Kali ini giliran pasukan Selangor PKNS pula membelasah pasukan bimbingan Peter Butler, 3-0. Gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Mohd Fauzan Dzulkifli pada minit ke-14, Patrick Ronaldinho (minit ke-21) dan Muhammad Fakhrul Aiman Sidi pada minit ke-71.

Ini bermakna selepas empat perlawanan, T-Team menang sekali menumpaskan Kelantan 1-0 (12 Januari), kalah dengan Perak 1-0 di Lumut (8 Januari) pada perlawanan pertama, kalah dua kali berturut-turut iaitu 0-3 kepada ATM di Seremban (15 Januari) dan kalah lagi semalam 0-3 kepada PKNS.

Kekalahan dua kali terakhir ini membabitkan jaringan yang besar iaitu kena 6-0.

Ini bermakna T-team kini hanya mengutip 3 mata daripada empat perlawanan dengan jaringan 1 berbalas 7.

Biarpun diperkuatkan semula dengan kehadiran bekas kapten skuad Penyu, Marzuki Yusof yang kembali beraksi selepas berehat panjang hampir setahun, ia masih gagal menutup kelemahan benteng pertahanan tuan rumah yang dilihat rapuh setiap kali menerima asakan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim.

Pada masa yang sama, jentera tengah T-Team juga dilihat gagal berfungsi dengan baik tanpa kehadiran ketua pasukan, George Boateng yang mengalami kecederaan sekali gus menyaksikan tiada gerakan menarik dapat dicipta tuan rumah sepanjang perlawanan berlangsung.

Bermula dengan penuh semangat, jentera serangan tuan rumah bagaimanapun menghadapi masalah untuk menembusi kubu pertahanan pelawat yang dikawal dengan baik.

Sebaliknya, kealpaan benteng pertahanan skuad The Titans dihukum seawal minit ke-14 apabila penyerang pelawat, Zamri Morshidi bijak menanduk masuk umpanan Mohd. Fauzan Dzulkifli hasil satu sepakan sudut.

Penyerang import PKNS, Patrick Ronaldinho kemudian menambah derita tuan rumah apabila pantas menyambar hantaran Zamri sebelum menolak masuk gol kedua pelawat pada minit ke-31.

Gol tersebut nyata merentap semangat juang anak-anak buah Peter Butler yang cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan namun digagalkan oleh tindakan penyudah jentera serangan mereka yang diterajui penyerang import, Caleb Folan.

Pemain gantian PKNS, Muhamad Fakrul Aiman kemudian memanfaatkan kesilapan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Amirul Abu Seman yang gagal menendang keluar bola daripada kawasan bahaya untuk gol ketiga pelawat pada minit ke-71.

T-Team cuba untuk bangkit pada minit-minit akhir permainan namun ketumpulan jentera serangan mereka mengagalkan hasrat pasukan itu untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol sebelum perlawanan berakhir.

Guiza (kanan) membuka jaringan Johor DT pada aksi menentang ATM di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mampu menjinakkan Harimau Selatan apabila seri 2-2 dengan pasukan Johor Darul Takzim pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, juga malam semalam.

ATM membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Amirizwan Taj Tajuddin sebelum pemain import Johor Darul Takzim, yang juga bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Daniel Guiza menyamakan kedudukan pada minit ke-17.

Kelekaan barisan pertahanan Johor Darul Takzim membuka peluang kepada pemain tengah ATM, Irwan Fadzli Idrus mengandakan jaringan pada minit ke-38, namun Johor Darul Takzim bangkit menyamakan kedudukan menerusi Norshahrul Idlan Talaha selang dua minit kemudian.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelantan gagal mengutip mata penuh penuh apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Felda United FC.

Dalam saingan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuhkan kedudukan dengan mengumpul 12 mata setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Kesilapan pemain UiTM, Muhammad Nazmi Baharom mengundang padah apabila beliau menjaringkan gol sendiri pada minit ke-28 sebelum PDRM menambah gol kedua menerusi Kaye Indraser pada minit ke-77.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah Kuala Lumpur memperolehi kemenangan pertama apabila menang tipis 3-2 ke atas Sabah.

Gol kemenangan Kuala Lumpur dihasilkan oleh Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-89, iaitu gol peribadi kedua selepas minit ke-62 dan Khairul Anuar Shafie pada minit ke-37.

 Sebelum itu, Sabah membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Rosdin Wasli dan Alto Linus pada minit ke-70.

Di Stadium Negeri Sarawak, Kuching, Sarawak mengalahkan Pos Malaysia 2-0, hasil jaringan Ivan Babic pada minit ke-62 dan Azizan Saperi pada minit ke-65.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah mengalahkan Johor 2-1.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sime Darby mengalahkan S.P.A Putrajaya 2-1 manakala pasukan tercorot Betaria pula seri 1-1 ke atas Perlis di Stadium Hang Tuah, Melaka.

No comments:

Post a Comment