Thursday, January 24, 2013

Tiga Hari Agih Bantuan Khas Awal Persekolahan

 

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang juga ADUN Kijal tmengambil masa tiga hari berturut-turut untuk mengagihkan sendiri Bantuan Khas Awal Persekolahan di dalam kawasan DUN Kijal.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Kijal melibatkan seramai 838 murid, Sekolah Menengah Kijal (1,024 murid), Sekolah Kebangsaan Meraga Beris (345 murid), Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong (249 murid), Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang (1,080 pelajar) dan Sekolah Menengah Bukit Kuang (550 pelajar).


Keseluruhan penerima Bantuan Khas Awal Persekolahan di Kemaman seramai 40,000 iaitu 16,797 penerima dari sekolah menengah manakala selebihnya 23,203 murid sekolah rendah.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, Kerajaan Pusat sama sekali tidak pernah berbohong dengan rakyat sepertimana yang selalu didakwa pihak pembangkang.

“Sekarang rakyat boleh menilai sendiri betapa prihatin Perdana Menteri kita dengan pemasalahan rakyat terutama bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan menjelang awal persekolahan,” katanya.

Tambah beliau lagi dengan adanya sokongan yang kuat daripada rakyat dan setia memilih kerajaan sekarang untuk terus menerajui negara kita, tidak mustahil masa depan anak-anak kita akan terus cerah dan terbela sepertimana sekarang.

Selain itu, Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan RM5,000 bagi setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di semua sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Beliau berharap sumbangan berkenaan mampu memantapkan lagi sistem pembelajaran sekolah-sekolah di kawasan berkenaan, sekaligus menaikkan nama sekolah dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang.

“Walaupun keputusan UPSR baru-baru ini, kita tidak dapat mengekalkan kedudukan kita nombor satu dalam negara, namun itu bukan satu alasan untuk kita semua terus mengalah, sebaliknya kita perlu menebus balik kekalahan kita,” katanya.

Beliau mengumumkan peruntukan tersebut sewaktu berucap di majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar di Dewan Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang, kelmarin,

Kehadiran pemimpin nombor satu negeri itu yang julung kali ke sekolah berkenaan yang baru siap, memang dialu-alukan warga sekolah berkenaan.

Seramai 1,630 pelajar diiringi ibu bapa dari dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuang menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 yang diagihkan sendiri oleh Menteri Besar.

Ahmad Said berharap semua pihak berusaha lebih gigih bagi membolehkan Terengganu mengekalkan kecemerlangan dalam semua peperiksaan awam pada tahun ini, termasuk UPSR.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman, Sulaiman Mohamad; Ketua Wanita UMNO Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah, Setiausaha Politik, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Pengarah APMT, Roshali Taha

Teganukita

No comments:

Post a Comment