Sunday, January 6, 2013

TMT 2013 Jadi Pemangkin Kepada TMM 2014 - Ahmad Said


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) akan menjadi pemangkin kepada aktiviti pelancongan terbesar negara iaitu Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) tahun depan.

Beliau berkata TMT 2013 itu amat bertepatan kerana secara tidak langsung dapat membantu atau mempromosi TMM yang akan mengambil tempat pada tahun depan.

"Pengalaman kita mengadakan TMT pada 2008 telah memberi banyak kelebihan untuk menarik pelancong mengunjungi ke Negeri Cantik Budaya Menarik ini.


"Dengan keunikan Terengganu yang mempunyai beraneka destinasi menarik seperti pulau, pantai, air terjun, tasik dan lain-lain yang menjadi buruan pelancong, sudah pasti sasaran kita untuk menarik empat juta peloancong ke Terengganu akan tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan TMT 2013 di Pekarangan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Ahmad Said berkata sektor pelancongan akan menjadi tulang belakang ekonomi negeri Terengganu pada masa depan apabila pembangunan Tasik Kenyir yang kini hampir siap akan dijadikan Tasik Bebas Cukai dan dijangka dibuka sepenuhnya Ogos tahun depan.

"Kita harap dengan pembukaan tasik bebas cukai itu, kedatangan pelancong ke Terengganu akan bertambah pada tahun-tahun akan datang," katanya.


Pada majlis itu, Ahmad Said mengumumkan Razizan Abd Razak atau lebih dikenali Zizan Raja Lawak sebagai Duta TMT 2013 serta memakaikan Jaket TMT 2013 kepada pelawak anak Terengganu kelahiran Dungun itu.

Ahmad turut melancarkan pasukan berkuda Tindakan Cemas Malaysia cawangan Terengganu setelah ia ditubuhkan bulan lepas.

No comments:

Post a Comment