Friday, January 11, 2013

Ubat Seks RM1.25 Juta Dirampas


Peniaga-peniaga ubat dan bahan perangsang seks jalanan di sekitar ibu negara dan Selangor dijangka 'patah kaki' setelah stor simpanan utama bahan tersebut di Jalan Pasar, Pudu di Kuala Lumpur diserbu pihak berkuasa petang semalam.

Dalam serbuan pada kira-kira pukul 2.30 petang itu, seramai 25 pegawai daripada Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Kuala Lumpur berjaya merampas ribuan kotak berisi 30 jenis produk perangsang seks yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta.

Nilai rampasan tersebut merupakan yang terbesar di ibu negara dalam tempoh 10 tahun. Turut dirampas, ribuan alatan dan aksesori perangsang seks. Ketua Operasi, Adnan Salimin memberitahu, serbuan tersebut merupakan hasil daripada maklumat orang awam serta intipan yang dilakukan pihaknya sejak dua bulan lalu.

Katanya, rumah kedai dua tingkat tersebut telah beroperasi sebagai gudang penyimpanan stok ubat dan bahan perangsang seks sejak lebih kurang lima tahun lalu.

"Ketika diserbu, sindiket yang dipercayai menjadi dalang kegiatan tersebut telah melarikan diri. Bagaimanapun, kami menemui timbunan ubat-ubatan dan bahan perangsang seks.

"Mereka (sindiket) selaku pemborong akan menyimpan stok ubat dan bahan perangsang seks di rumah tersebut sebelum mengagih-agihkannya kepada peniaga-peniaga jalanan di sekitar ibu kota," ujarnya ketika ditemui di lokasi serbuan semalam.

No comments:

Post a Comment