Tuesday, February 26, 2013

Adiq Sekali Lagi Muncul Pendaki Terbaik Malaysia


Pelumba Olimpik negara, Mohammed Adiq Husainie Othman sekali lagi menjadi pelumba pertama Malaysia tiba di puncak Genting Highlands pada perlumbaan peringkat kelima jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013, semalam.

Pelumba berusia 22 tahun yang mewakili pasukan Champion System Pro Cycling itu menamatkan saingan pendakian dari Proton ke Genting Highlands sejauh 110.3km itu dengan menduduki tempat ke-32.

De Rosa Julian D Arredondo (jersi merah) ketika pendakian di Genting Highlands di sini dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) semalam.

Beliau mencatat masa tiga jam, 20 minit dan dua saat, 08:21s di belakang pemenang peringkat itu dan jersi kuning dan merah, Julian David Arredondo Moreno daripada Team Nippo-De Rosa. Pelumba dari Colombia itu mencatat masa 3'11:41s untuk tiba awal di garisan penamat.

"Pasukan saya telah menggunakan strategi yang lebih kurang sama semasa pendakian di Cameron Highlands (Sabtu lepas). "Walaupun saya adalah pelumba domestik untuk pasukan ini tetapi saya bersyukur kerana menjadi pelumba Champion System yang kedua sampai ke garisan penamat," katanya.

Pada perlumbaan peringkat kelima hari ini, pelumba pasukan Champion System Pro Cycling yang mendahului beliau ialah pelumba Amerika Syarikat, Chris Butler, yang menamatkan saingan di tempat ke-22 dengan catatan masa 3'17:04s.

Dalam saingan keseluruhan (general classification), Mohammed Adiq Husainie berada di kedudukan ke-33 dengan mengumpul masa 17'55:35s, 12:15s di belakang pendahulu setakat ini.

Dalam pendakian ke puncak Genting Highlands, Musairi Musa menjadi pemegang rekod selaku pendaki terbaik negara dengan menamatkan saingan di tempat ke-12 pada edisi 1999.

Musairi, 40, adalah antara pelumba dalam pasukan kebangsaan yang berjaya meraih kejuaraan Asia pada edisi keempat perlumbaan LTdL pada 1999.

Selain Musairi, turut serta dalam pasukan berkenaan ialah Nor Effandy Rosli, Tsen Seong Hoong, Shahrulneeza Razali, Suhaimi Keton dan Mohd Mahadzir Hamad.

"Berdasarkan kepada dua pendakian pada edisi kali ini, saya lihat pelumba-pelumba negara masih berpeluang mencipta kejayaan yang lebih besar.

"Walaupun kebanyakan mereka mengatakan perlumbaan kali ini lebih laju dengan adanya pasukan Pro Team, tetapi itu bukan alasan untuk mereka tidak memberikan saingan yang sewajarnya. Mereka perlu pandai menempatkan diri dalam kelompok pelumba yang membuat pemecahan," kata Musairi.

Selepas selesai dua pendakian kategori Hors dan Loh Sea Keong, yang mewakili pasukan OCBC Singapura, berjaya menempatkan diri di tempat ke-14 dengan 10 mata, manakala pelumba pecut Anuar Manan daripada pasukan Synergy-Baku Cycling Project turut mencuri tumpuan dengan mengumpul lapan mata dan berada di kedudukan ke-16 untuk kategori pendakian (Raja Bukit).

No comments:

Post a Comment