Muhammad Pehimi (dua, kiri) dan Hamidun (kanan) di majlis perlepasan anggota rondaan kabel TM di Kampung Raja, malam kelmarin. |
Pengurus Besar TM Terengganu, Hamidun Ismail berkata, program julung kali diadakan di negeri ini adalah titik awal kerjasama dalam melaksana tugas rondaan antara TM dengan pasukan sukarelawan setempat.
Menurutnya, program ini melibatkan penyertaan anggota polis, Skim Rondaan Sukarela (SRS), Rukun Tetangga, Pasukan Sukarelawan Rakyat (Rela), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Anggota tersebut dipecahkan berkumpulan dan akan membuat rondaan bersama kakitangan TM dengan menggunakan kenderaan syarikat,” katanya pada majlis pelancaran program ini di Pejabat Penyelaras DUN Kota Putera, di Kampung Raja.
Majlis perasmian disempurnakan Adun Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusoff dan dalam majlis sama TM turut menyampaikan sumbangan berupa makanan kepada 19 SRS di Dun tersebut.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noor Zainy Mohd Nor dan Ketua Rela Daerah, Zawawi Eilias. Hamidun berkata, usaha ini dilakukan bagi mengatasi masalah kecurian kabel telekom yang serius di daerah ini menyebabkan pengguna mengalami kesulitan menggunakan kemudahan telefon rumah dan jalur lebar.
Menurutnya, Besut merupakan daerah paling banyak mengalami kes kecurian kabel di negeri ini manakala Dun Kota Putera berada di tempat kedua tertinggi di daerah ini selepas Dun Jertih.
Sementara itu, Muhammad Pehimi menyambut baik usaha dan semangat pasukan sukarela di Dun berkenaan yang bersama-sama membantu mengatasi masalah ini. “Masalah kecurian kabel adalah masalah dan menjadi tanggungjawab bersama kerana kecurian ini telah menjejaskan banyak pihak termasuk sekolah,” katanya.
Noor Zainy pula berkata, 70 kes kecurian kabel tahun lalu dan daripada jumlah itu hanya tiga suspek berjaya ditangkap.
No comments:
Post a Comment