Ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus tahun lepas berbanding 5.1 peratus pada 2011, demikian menurut Bank Negara Malaysia semalam.
Bank pusat itu berkata, meskipun persekitaran ekonomi global yang mencabar,ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 6.4 peratus pada suku keempat tahun lepas.
Jumlah pelaburan kekal teguh dan menjadi pendorong utama pertumbuhan semasa suku berkenaan, katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Bank Negara, pertumbuhan penggunaan swasta terus kukuh walaupun walaupun meningkat pada kadar yang lebih sederhana.
Pertumbuhan pada suku tersebut juga dibantu oleh eksport bersih yang mencatat kadar kemerosotan yang lebih kecil.
Dari segi penawaran, kebanyakan sektor ekonomi mencatat pertumbuhan yang bertambah baik pada suku keempat.
Permintaan dalam negeri terus berkembang pada kadar 7.5 peratus dengan pembentukan modal tetap kasar kekal kukuh, mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 15 peratus pada suku keempat.
Pelaburan sektor swasta meningkat sebanyak 20.2 peratus, disokong oleh perbelanjaan modal dalam subsektor perkilangan berorientasikan pasaran dalam negeri dan perkhidmatan berkaitan pengguna, iaitu telekomunikasi, harta tanah dan penerbangan serta projek dalam sektor minyak dan gas yang sedang dilaksanakan.
Pelaburan juga disokong oleh penambahan kapasiti dalam kelompok perkilangan berkaitan sumber dan perbelanjaan modal dalam bidang-bidang pertumbuhan baruseperti peralatan perubatan dan komunikasi.
Pelaburan awam berkembang sebanyak 11.1 peratus, didorong oleh perbelanjaan modal perusahaan awam dalam sektor pengangkutan, utiliti, minyak dan gas serta komunikasi, kata Bank Negara.
Sementara itu, penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 6.1 peratus pada suku keempat, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sentimen pengguna yang bertambah baik.
Menurut bank pusat, pertumbuhan yang lebih kukuh pada separuh pertama tahun 2012 mencerminkan kesan daripada pelbagai bantuan kerajaan kepada sektor isi rumah yang diberikan pada tempoh tersebut.
Penggunaan awam meningkat sebanyak 1.1 peratus, berikutan perbelanjaan yangberterusan untuk emolumen meskipun perbelanjaan terhadap bekalan danperkhidmatan lebih rendah.
Dari segi penawaran, pertumbuhan kebanyakan sektor ekonomi bertambah baik pada suku keempat.
Pertumbuhan dipacu oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan selain disokong oleh permintaan dalam negeri dan persekitaran luaran yang beransur-ansur baik, kata bank pusat.
Sektor pertanian berkembang dengan lebih cepat berikutan pengeluaran minyak sawit mentah dan hasil ternakan ayam itik yang lebih tinggi, manakala pertumbuhan sektor perlombongan pula kembali pulih berikutanpengeluaran gas asli yang meningkat semula.
Pertumbuhan sektor pembinaan pula terus kukuh, didorong oleh subsektor kejuruteraan awam dan kediaman.
Menurut Bank Negara, kadar inflasi keseluruhan, seperti yang diukur olehperubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), terus menjadi sederhanakepada 1.3 peratus pada suku keempat, mencerminkan inflasi kategori makanan danminuman tidak beralkohol yang lebih rendah
Mengenai masa depan, terdapat tanda-tanda bahawa ekonomi global akan menjadi bertambah baik dengan penunjuk ekonomi terkini juga menggambarkan prestasi pertumbuhan Asia yang semakin stabil.
Namun, di sebalik perkembangan yang lebih menggalakkan ini, banyak lagi cabaran struktur yang masih wujud dalam ekonomi maju, yang boleh mengekang prospek pemulihan ekonomi yang lebih kukuh.
Menurut Bank Negara, khususnya, beberapa ekonomi maju akan terus berusaha untuk menangani isu-isu berkaitan dengan kemampanan fiskal dan keadaan pasaranpekerja yang berterusan lemah.
Bagi pasaran sedang pesat membangun, dasar monetari yang amat akomodatif yang terus dilaksanakan dalam ekonomi maju yang utama, memerlukan pengawasan teliti memandangkan kemungkinan terdapatnya kesan daripada lebihan mudah tunai global ke atas inflasi harga aset.
Bagi ekonomi Malaysia, aktiviti dalam negeri yang terus berkembang dijangka terus memacu pertumbuhan, disokong oleh pengembangan sektor swasta yang mampan.
Bank Negara berkata keadaan luaran yang semakin stabil juga dijangka menyokong prospek pertumbuhan ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment