Saturday, February 9, 2013

Hospital KTS Terima ISO 9001:2008

Dr Oii Cheng Lee (dua dari kiri) menyampaikan sijil ISO 9001: 2008 kepada Fatimah Hamat (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Bryan Lin Boon Dian (kiri) dan Zawiah Sharif (tengah) serta Sharifah Mazina Syed Mohamed di pekarangan KTS Hospital, baru-baru ini.
Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), sebuah anak syarikat TDM Berhad menerima persijilan ISO 9001: 2008 bagi Penyediaan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan 5 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KTS Hospital, Zawiah Sharif berkata, persijilan itu membuktikan sistem pengurusan kualiti hospital memenuhi piawaian nasional serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

''Sistem pengurusan kualiti KTS Hospital yang telah diaudit mengikut piawaian ISO itu termasuk tanggungjawab pengurusan terhadap kualiti, tindakan pembetulan dan pencegahan, pengurusan pembekal, penilaian dalaman dan latihan pekerja," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penganugerahan Persijilan ISO 9001:2008 di perkarangan KTS Hospital di Kuala Terrengganu.

Yang turut hadir, Pengerusi KTS Hospital, Datuk Fatimah Hamat; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penjagaan Kesihatan, Bryan Lin Boon Dian dan Pengurus National Produktiviti (NPC) Sharifah Mazina Syed Mohamed.

 Menurut beliau, mendapat persijilan ISO 9001: 2008 merupakan satu kejayaan yang besar dalam usaha KTS Hospital yang berterusan untuk memiliki sistem pengurusan kualiti yang tinggi di samping dapat memperkukuhkan lagi fokus serta komitmen hospital terhadap kepuasan pelanggan.

''Kami percaya pelanggan berhak mendapat yang terbaik dan membuktikan KTS Hospital sebagai sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk mencapai tahap tertinggi dalam memberikan rawatan dan penjagaan kesihatan kepada pelanggan,'' katanya.

Di majlis itu, Fatimah menerima sijil tersebut daripada Pengurus Besar Moody International Certification (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Moody International Certification Ltd., Dr. Oii Cheng Lee.

KTS ditubuhkan pada tahun 2006 sebagai hospital pakar komuniti peringkat sekunder yang dilengkapi dengan fasiliti radiologi, makmal, pusat jagaan harian, bilik bedah, bilik bersalin dan nurseri bagi perkhidmatan rawatan kesihatan untuk pesakit luar dan pesakit dalam, pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan kecemasan yang beroperasi 24 jam.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment