Monday, February 25, 2013

Husni - Kerajaan Sasar 10 Juta Rakyat Peroleh Pendapatan Lebih RM2,000 Menjelang 2020

Kerajaan menyasarkan seramai 10 juta rakyat bakal memperoleh pendapatan lebih daripada RM2,000 menjelang tahun 2020 menerusi program transformasi ekonomi, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Dr Ahmad Husni Hanadzlah.

Menurutnya, sehingga kini jumlah rakyat berpendapatan lebih daripada RM2,000 ialah seramai 5 juta orang dan beliau yakin angka itu akan meningkat dan mencapai sasaran.

"Kita sasar GNI (Pendapatan Negara Kasar) mencatatkan RM1.7 trilion pada 2020. "Di bawah program transformasi ekonomi, kerajaan bukan hanya menumpu kepada kepada ekonomi pendapatan rendah, kita juga menumpu kepada kepada ekonomi pendapatan tinggi, ini menunjukkan pendapatan pekerja-pekerja di negara ini akan meningkat," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Awam Tanjung Rambutan hari ini.
Ahmad Husni yang juga Anggota Parlimen Tambun berkata kerajaan akan mengubah ekonomi negara untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi dengan menumpukan kepada pengeluaran daripada teknologi.

"Bagaimanapun, sebilangan besar tenaga manusia masih diperlukan untuk pengembangan ekonomi, walaupun tumpuan kepada teknologi," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga berusaha untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dengan menggalakkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

"Kita berharap pelaburan mencapai RM1.3 trilion dan 3 juta pekerjaan pada sasaran dari tahun 2020," katanya.

No comments:

Post a Comment