Kerajaan negeri menjangkakan memperoleh pulangan pelaburan RM50 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, berdasarkan sambutan yang menggalakkan di kalangan pelabur asing dalam pelbagai industri berskala besar.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata pihaknya percaya mampu mencapai sasaran itu atau sekurang-kurangnya memperoleh pendapatan RM5 bilion setahun.
“Terengganu memiliki banyak kawasan yang berpotensi tinggi untuk dijadikan sebagai kawasan perindustrian, selain kebijaksanaan kerajaan menjalin hubungan baik antara pelabur. Faktor itu menjadi pendorong utama Terengganu terus tersohor di kalangan pelabur asing pelbagai negara.
“Persatuan Industri Tekstil China (PITC) bersetuju melabur RM40 juta bagi membina kompleks tekstil kedua di Bandar Baru Kijal, Kemaman.
Manakala pelabur lain, TRG Industrial Minerals Sdn Bhd (TIM) akan mewujudkan kilang memproses silika yang dirancang di Saujana, Setiu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persembahan Amal dan Jamuan Makan sempena perayaan Tahun Baru Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Rendah Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, malam semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wan Hisham Wan Salleh.
Ahmad Said turut memberitahu, pengumuman CJ Cheiljedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis untuk menubuhkan satu logi biometionina yang pertama di dunia itu bakal menggalakkan aktiviti ekonomi baru.
Katanya, kesemua projek berskala besar itu bukan saja berupaya memberi pulangan pelaburan malah dapat mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan menaiktaraf ekonomi penduduk setempat.
No comments:
Post a Comment