Wednesday, February 13, 2013

JPJ Tahan 5 Pemandu BAS Positif Dadah Di Tiga Negeri

Solah memeriksa butiran pemandu kereta sewa sambil dibantu Abdul Rahman (kiri) di Kampung Anak Ikan, Besut, semalam.
Lima pemandu bas ekspres dikesan berada di bawah pengaruh dadah sepanjang operasi Tahun Baharu Cina yang dijalankan di seluruh negara dari 3 Februari hingga tengah malam kelmarin.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Solah Mat Hassan, berkata semua pemandu terbabit ditahan dan dilarang daripada meneruskan pemanduan bagi menjaga keselamatan penumpang.


Katanya, masing-masing dua pemandu dikesan dalam pemeriksaan di terminal bas di Perak dan Kedah manakala seorang lagi di Johor.

“Kami memberi tumpuan operasi di semua 32 terminal bas utama negeri dengan menempatkan pegawai dan anggota JPJ yang menyamar sebagai penumpang.

“Langkah ini bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas ekspres,” katanya selepas menyertai operasi sempena perayaan Tahun Baru Cina di Kilometer 81, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru, dekat Kampung Anak Ikan, semalam.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohamed Shukor Ismail; Pengarah JPJ Kelantan, Abd Ghani Che Kassim dan Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Ayie.

Operasi itu membabitkan 1,500 anggota di seluruh negara dan dalam tempoh itu, sebanyak 50,222 kenderaan diperiksa.

Sejumlah 9,537 kenderaan diambil tindakan dan JPJ mengeluarkan 7,530 saman serta 4,654 notis lain, termasuk 203 kenderaan disita.

Dalam Ops khas motosikal pula, sebanyak 9,168 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu, 1,838 diambil tindakan membabitkan 3,306 jenis kesalahan.

Mengenai kes positif dadah, Solah berkata, sepanjang tempoh operasi itu, enam pemandu kereta, 14 penunggang motosikal dan lima pembonceng motosikal ditahan.

Solah berkata, beliau berpuas hati dengan operasi yang dijalankan dan berjaya meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam terutamanya bas ekspres.

Katanya, berikutan operasi berterusan iu, perkhidmatan bas ekspres semakin baik dan selamat digunakan orang awam berbanding pengangkutan lain pada musim perayaan

Sementara itu, Mohamed Shukor berkata, sebanyak 500 kenderaan dibawa ke PUSPAKOM di seluruh negara untuk pemeriksaan percuma dalam tempoh 29 Januari hingga 8 Februari lalu sempena Tahun Baru Cina.

Katanya, pemilik kenderaan persendirian sudah mula menyedari kepentingan pemeriksaan terhadap kenderaan mereka walaupun ia tidak diwajibkan

No comments:

Post a Comment