Pelumba negara Anuar Manan muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia selepas berakhir peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Kangar ke Kulim, semalam.
Anuar berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 10 pelumba terawal tiba di garisan penamat dengan menamatkan saingan sejauh 162.7km di tempat ketujuh pada perlumbaan yang dimenangi oleh pakar pecut pasukan Blanco Pro Cycling Team, Theo Bos dari Belanda
"Saya mungkin boleh berada di hadapan bersama-sama Theo Bos. Kira-kira 3km sebelum sampai garisan penamat, tidak ada rakan pasukan yang dapat menolong.
Mungkin masa itu, semua pelumba sudah meningkatkan kayuhan dan kayuhan menjadi laju. Saya terpaksa bekerja sendiri.
"Pada awal perlumbaan lagi, selepas kayuhan neutral sudah ada tiga pelumba yang membuat pecahan dan saya sukar untuk mengejar mereka untuk mengumpul mata untuk kategori pecut. Saya silap sedikit di situ," kata pelumba dari Kuala Ibai, Terengganu.
Menurut Anuar, Bos sudah dijangka akan memenangi perlumbaan itu kerana dibantu rakan sepasukan yang mahir dalam pecutan.
"Untuk perlumbaan berikutnya, saya rasa pasukan saya akan memperkemaskan lagi strategi selepas melihat kepada strategi pasukan lain pada perlumbaan kali ini," katanya.
Pelumba berusia 27 tahun itu berkata beliau tidak menyasarkan untuk muncul selaku pelumba terbaik Malaysia tetapi agak kecewa kerana tidak dapat meraih kemenangan peringkat.
"Sasaran saya pada LTdL kali ini ialah untuk menang sekurang-kurangnya satu peringkat. Bagi saya, hari ini adalah permulaan yang baik dan mungkin esok boleh buat yang lebih baik lagi," katanya.
Walaupun peringkat kedua esok (hari ini) turut melibatkan satu pendakian kategori dua di Bukit Sumpitan, Anuar berkata ia bukan satu masalah.
"Untuk pendakian di Cameron Highlands (peringkat ketiga) dan Genting Highlands (peringkat kelima) saya perlu beri lebih perhatian dan tenang untuk terus berpeluang meneruskan saingan pada LTdL kali ini," katanya.
No comments:
Post a Comment