Semangat Anuar belum luntur ANUAR (kanan) terus menjadi sandaran untuk mengharumkan nama Malaysia pada perlumbaan LTdL 2013 |
Semalam, sasaran pelumba pasukan Synergy Baku Cycling Project itu untuk menaiki podium pada perlumbaan peringkat keempat dari Tapah ke Kapar sejauh 168 kilometer (km) tidak kesampaian.
Anuar hanya berpuas hati berada di tempat kelapan ketika empat pelumba profesional mengungguli lima kedudukan teratas yang menyaksikan pelumba Vini Fantini - Selle Italia, Francesco Chicchi muncul juara.
Anuar berkata, rakan-rakan sepasukannya yang sepatutnya membawa dia ke garisan penamat tersangkut dengan kelompok pelumba lain, sekali gus menyebabkan dia terpaksa bertindak secara solo.
"Saya terpaksa pergi sendiri ke garisan penamat, kami memang tidak jangka perkara ini akan berlaku. "Ia memang malang buat saya tetapi saya tetap bersyukur dapat meraih tempat kelapan," katanya.
Menurut Anuar, walaupun banyak tenaga habis dalam perlumbaan semalam, kedudukan tempat kelapan sesuatu yang boleh dibanggakan dan dia berjanji akan memperbaiki kedudukannya pada perlumbaan akan datang.
"Saya masih belum dapat menaiki podium lagi setakat ini tetapi saya akan mencuba lagi tanpa menyerah kalah.
"Memang berlaku pemecahan hari ini (semalam). Mereka mula mengawasi saya seperti pasukan Blanco Pro Cycling Team dan Astana Pro Team.
"(Pelumba Astana) Andrea Guardini juga telah memesan kepada rakan-rakan sepasukannya supaya tidak melepaskan saya dengan mudah.
"Mereka memang tidak mahu saya mengumpul mata pecut (Jersi Biru), jadi saya hanya duduk dalam kelompok," jelas Anuar. Anuar berkata, dia akan cuba mengumpul mata lagi selepas ini dengan menggunakan strategi yang lain kerana pasukan lain sudah mula memberi cabaran kepadanya.
"Saya berharap dapat melakukan yang lebih baik seterusnya memastikan sasaran untuk menaiki podium terlaksana," kata pelumba kelahiran Kampung Kuala Ibai, Terengganu itu
Kosmo!
No comments:
Post a Comment