Saturday, February 16, 2013

Mangsa Banjir Daerah Dungun Terima Bantuan Banjirir

 

Sebanyak 2,112 penduduk daerah Dungun semalam menerima bantuan banjir daripada kerajaan negeri membabitkan RM1.055 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata bantuan yang disampaikan hari ini adalah bantuan kepada mangsa banjir yang pertama dan selepas ini bantuan serupa akan diagihkan untuk penduduk daerah Kemaman.

Rata-rata penduduk bersyukur di atas pemberian bantuan itu dan bagi Sarol Salim, 36, dari Kampung Minda, Jerangau dekat sini mengakui bantuan yang diagihkan kerajaan sangat banyak dan dalam pelbagai bentuk.

"Seperti hari ini saya menerima RM500 bantuan kerajaan negeri. Semalam saya sudah terima RM500 sumbangan kerajaan pusat. Itu belum kira bantuan anak sekolah, baiki rumah, dana raya dan sebagainya.

"Sehari dua lagi saya juga akan memperoleh RM500 dalam program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya kepada Bernama selepas menerima bantuan daripada Menteri Besar di Dungun, semalam.

Seorang lagi penerima bantuan banjir, Azmanizam Abdul Razak, 33, dari Kampung Tepus dekat sini berkata banjir jarang berlaku di kampungnya, namun tahun ini ia terjadi dengan tiba-tiba.

"Kebanyakan penduduk di sini mengalami kerugian harta benda tidak kurang RM1,000 apabila rumah mereka dinaiki air sedalam antara satu meter dan dua meter," katanya.

Azmanizam berkata beliau bersyukur di atas bantuan kerajaan itu yang sememangnya memahami nasib yang menimpa rakyat.

Rakannya, Md Zaid Abdullah,42, juga dari Kampung Tepus, Bukit Besi berkata, dengan bantuan kerajaan negeri yang diterima hari ini dan ditambah dengan bantuan kerajaan pusat yang telah diterima baru-baru ini dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di kampungnya.

"Saya begitu gembira dengan bantuan yang diberikan dan sangat bersyukur mempunyai kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat terutama yang ditimpa bencana alam seperti saya dan mangsa banjir yang lain,” ujarnya.

Bagi Duyah Abdul Rahman, 68, pula berkata, bantuan wang tunai sebanyak RM500 yang diterimanya akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli semula kelengkapan rumah yang rosak akibat banjir dan untuk keperluan harian.

"Saya akan gunakan wang ini untuk perbelanjaan makan minum dan membeli kelengkapan rumah yang rosak akibat banjir,” katanya.

Terengganu antara negeri yang terjejas teruk akibat bencana banjir Disember lalu.

No comments:

Post a Comment