Saturday, February 2, 2013

Masalah Visa Azizukhasni Selesai, Boleh Ke Melbourne

Hasrat jaguh berbasikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang untuk mengikuti latihan di Melbourne akhirnya tercapai apabila masalah kelewatan mendapat visa yang dihadapinya itu selesai kelmarin.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu yang mengakui tidak sabar untuk kembali berlatih bersama ketua jurulatih kebangsaan, John Beasley berkata, dia berharap dapat menyertai rakan-rakan senegara di Australia pada minggu depan.


“Saya mendapat tahu perkara ini pun malam tadi (kelmarin) menerusi e-mel pengesahan daripada pihak Imigresen Australia. Hari ini (semalam) baru saya memberitahu jurulatih Beasley yang meminta saya balik ke Melbourne minggu depan.

“Begitupun, selepas saya lihat tiket pener- bangan semuanya sudah penuh, nampak macam sukar sebab sekarang ramai pelajar yang sedang bercuti.

“Hari ini (semalam) pun cuti umum, mungkin esok atau dalam masa terdekat ini saya akan minta pihak Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menguruskan soal tiket. Harap-harap mereka tidak ada masalah lagi untuk mendapatkan tiket agar saya dapat pergi ke sana minggu depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Azizulhasni sepatutnya kembali mengikuti latihan di Melbourne selepas isterinya, Athiah Ilyana Abd. Samat melahirkan anak sulung mereka pada November lalu. Ekoran daripada masalah kelewatan mendapatkan visa, pelumba berusia 25 tahun itu terpaksa menjalani latihan secara bersendirian sebelum jurulatih, Graham Seers hadir untuk membimbingnya bulan lepas.

Menurutnya lagi, masalah yang dihadapinya itu turut menghampakan hasratnya yang berazam untuk melakar kejayaan selepas disenaraikan beraksi pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, Mac depan.

“Kalau ikutkan apa yang terjadi sekarang, memang saya tidak ada sasaran, saya pergi ACC pun sebagai medan untuk memanaskan badan sahaja.

 “Saya mula menjalani latihan sendiri selepas Hari Raya dan saya pun lebih banyak berlatih di jalan raya. Kemudian, bulan lepas Beasley minta Seers membimbing saya ketika mereka tiba dari Melbourne pada bulan lepas,” ujar Azizulhasni.

Senarai nama yang dikeluarkan PKBM kelmarin turut menyenaraikan Azizulhasni untuk membarisi skuad elit negara pada ACC 2013.

Untuk rekod, Azizulhasni sekadar meraih dua pingat perak dalam acara pecut dan keirin pada ACC 2012 yang berlangsung di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras pada Februari.

Pada kejohanan tersebut, Malaysia meraih tiga emas menerusi Josiah Ng dalam acara keirin, Muhamad Edrus Md. Yunos (1km ujian masa) dan Fatehah Mustapa (keirin).

No comments:

Post a Comment