Wednesday, February 27, 2013

Piala FA - Terengganu Layak Ke Suku Akhir, T-Team Berputih Mata Di Laman Sendiri

Penyerang berbisa Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha (tengah), diasak empat pemain Kedah dalam perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Terengganu, Pahang, Johor Darul Takzim (JDT), dan Sarawak turut mengesahkan slot suku akhir Piala FA selepas menewaskan lawan masing-masing, malam tadi.

Keputusan itu membuatkan mereka mengiringi Sime Darby dan Negeri Sembilan yang terlebih dahulu mengesahkan tiket ke suku akhir, petang semalam. Selangor layak lebih awal.

Perlawanan antara juara bertahan Piala FA Kelantan menentang PKNS di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu terpaksa dibatalkan akibat hujan berterusan.

Pemain Pos Malaysia, Mohd. Hafizi Amiruddin (tengah) dihalang pemain Negeri Sembilan pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam. Negeri Sembilan menang 2-0.
Dalam perlawanan itu, Pahang mempamerkan aksi cemerlang apabila berpesta gol dengan membelasah Tentera Darat 7-1 di Stadium Darul Makmur.

Tujuh gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh R. Gopinathan pada minit ke-14, Azamuddin Akil (23, 25, 48 dan 68), Faizol Hussin (37), Mohamed Borji (85) manakala gol tunggal pasukan pelawat disumbangkan oleh Faizal Hamzah (65).

Dalam saingan suku akhir, Pahang akan berdepan dengan Sime Darby selepas mereka mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Juara 2011, Terengganu yang menang selesa 3-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya dalam satu lagi aksi semalam.

Penyerang berbisa Sang Penyu, Mohd. Ashaari Shamsuddin seolah-olah berada dalam kelas tersendiri apabila meledak dua gol dalam perlawanan itu seawal minit ketiga dan ke-59.

Ia merupakan jaringan keempat Mohd. Ashaari dalam dua perlawanan berturut-turut selepas turut mencetak dua gol ketika mengejutkan pendahulu Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia dengan kemenangan tipis 3-2 minggu lalu.

Satu lagi jaringan Terengganu dihasilkan oleh Khairol Ramadhan Zawawi pada minit ke-76, sekali gus menafikan hasrat Sang Kumbang daripada melakar kejutan untuk mara lebih jauh pada saingan kali ini.


Juara dua kali, Negeri Sembilan menyambar slot suku akhir kempen Piala FA 2013 apabila mudah mengatasi pasukan berstatus kelab, Pos Malaysia dengan kemenangan bergaya 2-0 pada aksi pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang semalam.

Anak-anak buah Divaldo Alves yang masih tercari-cari rentak dalam saingan Liga Super musim ini, sebaliknya terlalu unggul meneruskan kemaraan dalam kempen Piala FA selepas terlebih dahulu menyingkirkan UiTM FC dalam aksi pusingan pertama sebelum ini.

Dengan kemenangan itu, Sang Rusa bakal mengiringi juara lima kali, Selangor yang terlebih dahulu layak ke suku akhir selepas mengecewakan Sabah 3-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 12 Februari lalu.

Sebelum ini, Gergasi Merah terpaksa beraksi lebih awal berbanding tujuh perlawanan pusingan kedua yang berlangsung semalam kerana perlu mengharungi aksi pembuka tirai saingan Piala AFC berdepan kelab India, East Bengal di Stadium Lake Salt, Kolkata petang ini.

Dalam aksi semalam, Fauzi Nan memecah kebuntuan apabila meletakkan Sang Rusa di depan pada minit ke-26 sebelum jaringan kedua Rashid Mahmud seminit sebelum babak pertama berakhir sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Turut mara ke suku akhir ialah JDT yang menundukkan Kedah menerusi sepakan penalti 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Mohd Khyril Muhymeen Zambri menjaringkan dua gol untuk skuad Hijau Kuning pada minit kelapan dan ke-21 manakala penyerang import skuad Harimau Selatan Daniel Guiza menyamakan kedudukan menerusi dua gol pada minit ke-69 dan 89.

Pasukan bimbingan Fandi Ahmad bagaimanapun berdepan laluan getir kerana akan bertemu juara lima kali Piala FA, Selangor pada saingan suku akhir yang bakal berlangsung pada 6 dan 16 April.

Sarawak turut menempah slot ke suku akhir dengan mengalahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC) 2-0 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching.

Dua gol skuad Bujang Senang dijaringkan oleh Mohd Azizan Baba pada minit ke-31 dan Bobby Gonzales pada minit ke-57.

Berikut keputusan pusingan kedua Piala FA:

Kedah 2 Johor Darul Takzim 2 (Johor Darul Takzim mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Kedah 5-4 menerusi sepakan penalti)

Sarawak 2 PBAPP FC 0

Pahang 7 ATM Tentera Darat 1

No comments:

Post a Comment