Datuk Seri Najib Tun Razak tandatangani Ikrar Intergriti Pilihan Raya Transparency International di Bangunan Perdana Putra Putrajaya, semalam. |
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International, membuat perisytiharan terbuka untuk mendukung integriti dan memperteguh komitmen beliau terhadap agenda negara dalam memerangi rasuah terutamanya dalam pilihan raya umum ke-13.
Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International merupakan kontrak sosial secara sukarela, dengan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum, berikrar untuk menggalakkan integriti, tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan dan mendukung kedaulatan undang-undang.
Surat ikrar yang ditandatangani oleh Najib semalam. |
Di bawah seksyen 'Maklumat Lanjut', selepas ayat - 'Saya menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya ini kerana:'
Najib menulis "Saya percaya sebagai pemimpin BN saya perlu memberikan teladan yang baik. Hanya calon yang dianggap telah memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil akan membawa kepada sebuah kerajaan yang amanah, dihormati oleh rakyat".
Presiden TI-Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan menandatangani dokumen itu sebagai saksi. Turut hadir pada majlis itu yang berlangsung di bangunan Perdana Putra ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).
Ikrar itu menetapkan calon perlu mematuhi prinsip benar, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah, atau terlibat dalam mana-mana amalan rasuah. Calon juga perlu mendukung dan mengutamakan kepentingan rakyat secara menyeluruh, mengamalkan tadbir urus baik dan ketelusan; dan mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia.
Menurut kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri berkata sebaik sahaja nama calon-calon Barisan Nasional bagi pilihan raya umum diumumkan, beliau akan memastikan semua calon akan menandatangani ikrar itu.
"Calon-calon Barisan Nasional dan parti komponennya telah melalui proses semakan dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kini sewajarnya mereka menunjukkan komitmen mereka bagi pilihan raya yang bersih dan adil dengan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya.
"Tanggungjawab memenuhi ketetapan ikrar ini terletak dengan langkah menandatangani ikrar ini dan adalah merupakan hak mutlak semua rakyat Malaysia untuk memastikan mereka berpegang kepada ikrar ini. Mari kita berusaha bersama-sama ke arah menambahbaik proses pilihan raya," katanya.
Beliau berkata butiran mereka yang telah menandatangani ikrar itu akan dimuatkan dalam laman web Transparency International, dan tanggungjawab orang ramai ialah menjadi 'mata dan telinga untuk memantau pematuhan wakil rakyat mereka terhadap standard berkenaan.
Sementara itu ketika ditemui selepas majlis itu, Paul Low berkata orang ramai boleh berkomunikasi dengan calon menerusi maklumat diberikan mereka dalam laman web TI di http://timalaysia-electionpledge.org.my.
Beliau berkata ikrar itu bukan mengenai parti tetapi individu; beliau menjangkakan semua calon dan pemimpin parti, daripada parti kerajaan, pembangkang dan mana-mana calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang, akan tampil dan menandatangani ikrar itu.
"Kerana saya percaya demi Malaysia, kita perlu mengubah budaya politik ini, untuk memastikan integriti dan memerangi rasuah menjadi keutamaan setiap pengubal undang-undang," katanya.
No comments:
Post a Comment