Saturday, February 16, 2013
Polis Kemaman Cari Mat Beleh, Pok Mi
Polis Kemaman kini sedang mencari dua pemuda yang dikenali sebagai Mat Beleh, 25, dan Pok Mi, 27, bagi membantu siasatan kes ragut yang berlaku di sekitar Bandar Chukai sejak dua bulan kebelakangan ini.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai dua pemuda ini, diharap dapat tampil membantu polis dengan datang ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 09-859 2222.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, nama sebenar Mat Beleh dan Pok Mi masing-masing adalah Azilah Anad dan Mohd Suhaimi Sulong serta beralamat di Rumah Murah Bukit Kuang, Kijal.
“Orang awam terutama wanita, juga perlu lebih berhati-hati ketika berada di tempat awam untuk tidak membuka peluang kepada orang tidak bertanggungjawab melakukan jenayah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini semalam.
Kedua-dua lelaki itu dicari berhubung lima kes ragut yang berlaku di sekitar Bandar Chukai termasuk dalam kes terbaru Selasa lalu, isteri Adun Chukai yang berusia 60 tahun kerugian wang tunai sebanyak RM1,700 selepas beg tangannya dilarikan seorang suspek dalam kejadian di Chendol Kopitiam kira-kira jam 5 petang.
Ketika kejadian, mangsa sedang minum bersama beberapa rakan sebelum seorang suspek meluru masuk ke dalam kopitiam lalu mengambil beg itu yang terletak di kerusi bersebelahan mangsa dan segera melarikan diri dengan motosikal ditunggangi rakan yang menunggu di luar kopitiam itu.
Che Suza berkata, modus operandi kes ragut yang dipercayai didalangi dua suspek terbabit adalah meronda di kawasan sasaran bagi mencari mangsa dengan menunggang sebuah motosikal.
Apabila mangsa dikenal pasti, suspek yang membonceng motosikal akan meragut, sementara seorang lagi suspek yang menjadi penunggang menunggu rakannya itu, bersiap sedia memecut motosikal bagi melarikan diri dan kedua-dua mereka turut memakai topi keledar bagi mengelakkan wajah mudah dicam mangsa.
No comments:
Post a Comment