Ketidakhadiran wakil kerajaan Kelantan pada majlis perasmian Kompleks Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kelantan di Tanjong Chat di Kota Bahru semalam membuktikan sikap sebenar mereka dalam memartabatkan seni budaya di negeri itu.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang kecewa dengan keadaan itu berkata ketidakhadiran itu menjadi persoalan banyak pihak kerana kerajaan Kelantan wajar berbangga dengan terbinanya kompleks berkenaan yang menjadi mercu tanda memartabatkan budaya.
"Saya sendiri menulis surat kepada Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) atau wakilnya dan mendapati kerajaan negeri tidak menghantar sesiapa pun (pada perasmian majlis).
"Itulah fiil atau pendirian yang harus dipersoalkan dalam konteks membina seni budaya negeri. Hari ini adalah kegembiraan seluruh rakyat Kelantan," katanya kepada pemberita selepas perasmian kompleks berkenaan semalam.
Kerajaan PAS beberapa hari lalu telah memaklumkan yang mereka tidak akan menghadiri majlis perasmian itu yang didakwa mereka mempunyai unsur politik.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa majlis perasmian itu dijadualkan mempunyai persembahan dikir barat ekstravaganza berkonsep 'Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan' dengan penyertaan tukang karut 'acu test sepenggal'.
Mengulas lanjut perkara itu, Rais berkata kerajaan pusat melalui kementerian itu telah menyediakan kemudahan prasarana yang lebih daripada negeri lain termasuk peruntukan dan pengisian yang boleh menyatupadukan seluruh masyarakat.
"Saya masih berpendapat ia perjuangan yang boleh menaupkan kiambang atau perbezaan. Kami anggap kompleks ini sebagai institusi yang mampu mencantumkan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang dalam satu penjituan seni budaya," katanya.
Sementara itu, Rais menafikan kementerian itu tidak mematuhi persefahaman yang telah dipersetujui antara kedua-dua belah pihak berhubung pembinaan kompleks berkenaan.
Katanya perkara itu diibarat seperti `rumah siap, pahat berbunyi' dan tidak mempunyai sebarang prinsip pencabulan terhadap persefahaman itu.
Takiyuddin sebelum ini mendakwa tapak kompleks itu adalah milik kerajaan negeri dan mereka memberikan kebenaran kepada kementerian menggunakan tanah itu atas persefahaman, justeru kerajaan negeri juga berhak ke atas fasiliti tersebut.
No comments:
Post a Comment