Antara remaja yang ditahan ketika Ops Kasih sempena Hari Kekasih yang dijalankan di 14 buah hotel dan rumah tumpangan sekitar Kuala Terengganu, malam semalam. |
Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh berkata, walaupun remaja berkenaan berada dalam keadaan tidak mencurigakan, dia ditahan untuk diambil keterangan setelah gagal hadir ke mahkamah disabitkan kes khalwat sebelum ini.
Sebahagian lagi remaja yang turut menerima nasib sama akibat berkhalwat di sekitar Kuala Terengganu, malam kelmarin. |
“Ketika ditahan, remaja itu berada dalam bilik sewa bersama tiga lelaki dan pintu bilik dibuka. Remaja yang bekerja sekitar Kuala Terengganu itu kemungkinan bertemu rakan lelakinya atas hal tertentu.
“Kita menahan remaja terbabit bukan atas sebab dia berkhalwat, tetapi kerana gagal hadir ke mahkamah walaupun waran tangkap tiga kali dikeluarkan ke atasnya disebabkan kes khalwatnya sebelum ini,” katanya.
Mohd Ariffin berkata, operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu melibatkan 30 pegawai penguatkuasa agama dan pemeriksaan dijalankan di 14 buah hotel bajet dan rumah tumpangan sekitar Kuala Terengganu.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, dua pasangan ditahan dan dibawa ke pejabat agama disebabkan berada dalam keadaan mencurigakan. Kedua-dua pasangan itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah hotel bajet dan sebuah rumah tumpangan.
“Tangkapan itu hasil kerjasama masyarakat setempat yang banyak memberikan maklumat kepada pihak berkuasa agama.
“Ops Kasih ini kita jalankan setiap tahun bagi mencegah perbuatan tidak bermoral khususnya dalam kalangan remaja, walaupun begitu, terdapat juga pasangan yang ditahan dalam kalangan dewasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama pemilik hotel dan rumah tumpangan supaya tidak bekerjasama dengan individu yang ingin melakukan perkara tidak bermoral dan menyalahi hukum agama.
“Kita minta supaya pemilik hotel dan rumah tumpangan tidak bekerjasama dengan membenarkan individu khususnya yang beragama Islam yang bukan muhrim menyewa di hotel atau di rumah tumpangan mereka.
“Hukuman di dunia mungkin terlepas, tetapi mereka tidak akan terlepas hukuman di akhirat.
Bagi mencegah perkara ini dari berlarutan, kita di pejabat agama akan terus giatkan operasi begini pada masa akan datang,” katanya.
SH Online
No comments:
Post a Comment