Wednesday, February 27, 2013

Siapa Luluskan Kontraktor 'Kurang Pengalaman' Baiki Bumbung Stadium?


"Siasatan awal mendapati kejadian struktur kerangka bumbung SSMZA runtuh Selasa lalu berpunca daripada kelemahan kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR)...kelemahan kontraktor yang kurang berpengalaman untuk menjalankan kerja membuka semula bumbung jenis 'space frame' itu, menyebabkan berlaku runtuhan." - Pengerusi Jawatankuasa Amalan Terbaik Industri Pembinaan (CIBPAC) Ir. Jamaluddin Noh

Benarkah kontraktor yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja membuka kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Terengganu, didapati kurang pengalaman untuk melakukan kerja itu?

Jika demikian, bagaimana kontraktor berkenaan diberikan tanggungjawab? Siapa dan kenapa kontraktor berkenaan dipercayai mampu melakukan kerja sedemikian?

Pengerusi Jawatankuasa Amalan Terbaik Industri Pembinaan (CIBPAC) Ir. Jamaluddin Noh berkata semalam, perkara itu ditemui dalam siasatan awal CIBPAC yang menyiasat insiden bumbung SSMZA yang runtuh kali kedua pada 20 Feb lepas.


"Kita masih menjalankan siasatan yang mendalam berhubung kejadian itu dan kita akui terdapat sedikit kelemahan iaitu kontraktor yang terlibat dalam kerja berkenaan tidak mempunyai pengalaman," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu semalam.

Beliau juga berkata kontraktor berkenaan berdepan tindakan tatatertib serta mungkin digantung lesennya jika siasatan lanjut mendapati ada unsur kecuaian kontraktor ketika melaksanakan kerja membaik pulih bumbung stadium berkenaan.

Menurut Jamaluddin tidak ramai kontraktor tempatan yang mampu melakukan kerja membuka semula kerangka bumbung stadium.

Dalam kejadian Rabu lepas, lima pekerja binaan cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kerangka lama bumbung SSMZA yang dalam proses baik pulih runtuh. Kejadian berlaku pukul 11.30 pagi ketika lapan pekerja sedang menjalankan kerja memotong kerangka bumbung lama itu.

Kerja baik pulih berkenaan dilaksanakan kontraktor terbabit sejak tiga tahun lalu dan dijadual siap pada 24 Feb lepas.

Bumbung stadium berharga RM292 juta itu runtuh pada 2009, kira-kira setahun selepas disiapkan dan kerja baik pulih dianggar menelan kos RM15 juta

Teganukita melaporkan Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) negeri, Ahmad Farrin Mokhtar, berkata kontraktor utama yang diberi tanggungjawab melaksanakan kerja menurunkan bumbung lama itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 520 CIDB.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu laporan hasil siasatan daripada beberapa pihak sebelum mengambil tindakan selanjutnya dan menentukan sama ada kerja berkenaan diteruskan oleh kontraktor sama atau diserahkan kepada kontraktor baru.

"Kerja menurunkan bumbung lama itu diserahkan oleh kontraktor utama kepada sub kontraktor. Sekiranya siasatan mendapati kecuaian adalah punca utama kejadian, pihak kontraktor utama boleh dikenakan tindakan digantung lesen atau pendaftaran.

“Buat masa ini kerja-kerja ini diarah dihentikan sementara oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk memudahkan pihak yang berkenaan menjalankan siasatan," katanya ketika melawat lokasi kejadian di SSMZA semalam.

Jamaluddin selanjutnya menjelaskan, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian struktur kerangka bumbung SSMZA runtuh Selasa lalu berpunca daripada kelemahan kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti kelemahan kontraktor yang kurang berpengalaman untuk menjalankan kerja membuka semula bumbung jenis 'space frame' itu, menyebabkan berlaku runtuhan.

Beliau berkata, SSMZA adalah infrastruktur pertama di negara ini menggunakan bumbung daripada teknologi Korea itu dan belum ada prosedur standard operasi (SOP) mengenainya yang dibangunkan untuk rujukan pihak kontraktor di negara ini.

"Daripada hasil taklimat CIBPAC dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), JKR dan kontraktor, kita mendapati kontraktor tidak cukup pengalaman untuk membuka semula bumbung 'space frame' di stadium ini.

"Kerja memasang dan membuka bumbung jenis ini memang tidak banyak di Malaysia dan kontraktor tempatan yang arif mengenainya juga tidak banyak," katanya.

 Jamaluddin berkata, pihaknya akan mengeluarkan laporan hasil siasatan dalam masa terdekat, sebelum diserahkan kepada CIDB untuk diambil tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment