Sunday, February 24, 2013

Sokongan Rakyat Kepada BN Semakin Padu - MB


Sokongan rakyat Terengganu terutama di peringkat akar umbi semakin bertambah selepas mereka melihat kemampuan Barisan Nasional (BN) membawa satu anjakan pembangunan kepada negeri ini berbanding sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata keupayaan BN yang ditunjangi UMNO mentadbir negara, termasuk Terengganu dalam membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan pembangkang tidak senang duduk.

“Faktor itu membuatkan mereka terpaksa mencipta pelbagai fitnah dan dakyah palsu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Shahbandar, semalam.

Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak itu turut dihadiri Datin Paduka Sri Rosmah Mansor; isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud. Tetamu kehormat lain Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat DUN dan Parlimen serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Terengganu.

Kira-kira 60,000 penduduk hadir pada program yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 bermula jam 10.30 pagi.

Selepas pelancaran, Najib bersama rombongan melawat tapak pameran sebelum berakhir dengan jamuan makan bersama rakyat, kira-kira jam 12 tengah hari.

Sejurus kemudian, Perdana Menteri bertolak menghadiri majlis perjumpaan tertutup bersama pemimpin Umno dan parti komponen Barisan Nasional di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Pertemuan bersama pemimpin dan ahli parti berakhir dengan jamuan petang kira-kira dua jam kemudian. Sementara itu, Datin Paduka Seri Rosmah pula dijangka melawat Taska Permata Keluarga Serdang Baru, Kuala Nerus, kira-kira jam 3.30 petang.

Ahmad Said berkata Terengganu hari ini, cukup bertuah kerana dikunjungi pemimpin nombor satu negara, yang tidak jemu-jemu membantu rakyat dan memberi pelbagai kemudahan kepada semua golongan.

“Kerajaan BN adalah sebuah parti yang memperjuangkan nasib rakyat, justeru itu, mari kita sama-sama seia sekata dengan berjanji menyokong BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti.

“Kita mahu melihat Terengganu terus membangun dan menjadi negeri maju menjelang 2020, oleh itu kita perlukan sebuah kerajaan yang mampu melaksanakan dengan adil dan bijaksana,” katanya..

No comments:

Post a Comment