![]() |
Toh Chin Yaw (berdiri) melayan tetamu dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA Terengganu di Dewan Tunku Abdul Rahman, di Kuala Terengganu, semalam. |
Walaupun penduduk berketurunan Cina di Kuala Terengganu tidak ramai, tetapi sambutan Tahun Baharu Cina di negeri ini tetap disambut dengan meriah.
Selain tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum itu, sambutan tersebut turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemimpin negeri, termasuk daripada parti pembangkang.
Antaranya ialah Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh; ADUN Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar serta beberapa pemimpin pembangkang.
Penglibatan seluruh rakyat pelbagai bangsa dan keturunan termasuk Melayu dan India tambah menceriakan suasana dengan menampilkan tarian singa mengiringi ketibaan para tetamu di pintu masuk ke dewan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw berkata, sambutan masyarakat tahun ini amat luar biasa.
“Semua masyarakat tanpa mengenal usia dan fahaman politik bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada Tahun Ular dalam suasana penuh harmoni,” katanya pada sidang media di majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu
Katanya, suasana ini mengambarkan semangat perpaduan dan keharmonian kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini yang saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Menurutnya pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan tahun ular tahun ini termasuklah pertandingan menghias rumah kedai, karnival, sukaneka serta pameraan motor dan kereta klasik.
No comments:
Post a Comment