Monday, March 11, 2013
"1 Million Women Purple Walk" Ahad Ini
Program "1 Million Women Purple Walk" yang ditangguhkan berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu dan beberapa daerah lain di Sabah, akan diadakan Ahad ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur berkata, program berjalan kaki anjuran bersama Kementerian Kewangan itu akan berlangsung serentak di seluruh negara bermula 8 pagi.
Program itu akan menghimpunkan sejuta wanita bagi menunjukkan solidariti kaum hawa dalam menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan wanita Malaysia, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noorul Ainul berkata, program itu akan turut dimeriahkan dengan penganjuran Karnival 1Million Women Purple Walk di Dataran Putrajaya selama dua hari bermula Sabtu ini.
"Acara pameran dan jualan ini memberi peluang kepada usahawan-usahawan khususnya para wanita, peniaga kecil, persatuan ibu tunggal dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mempamer dan menjual produk serta perkhidmatan mereka dengan harga yang rendah,” katanya.
Beberapa agensi kerajaan juga akan turut serta bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan khidmat nasihat dan peluang khususnya berkaitan pembangunan perniagaan, katanya.
No comments:
Post a Comment