Tuesday, March 19, 2013
193 Peserta Felcra Seri Bandi Terima Geran Tanah Hampir RM100j
Seramai 193 peserta Tanah Rancangan Felcra Seri Bandi di Kemaman menerima geran hak milik tanah masing-masing membabitkan nilai kira-kira RM100 juta ringgit.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata setiap peserta diberi kawasan seluas empat hektar tanah kelapa sawit dianggarkan bernilai antara RM400,000 dan RM500,000.
"Kita beri kepada peserta yang betul-betul tabah menghadapi pahit maung hidup sebagai peserta Felca Seri Bandi, sejak 33 tahun lalu.
"Sejak dibuka pada 1980, ada peserta yang tidak tahan dan meninggalkan tanah rancangan itu.
Bagaimanapun setelah Felcra Seri Bandi mengeluarkan hasil, ada yang menyesal dan ingin kembali menjadi peserta, tetapi ia sudah terlambat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan geran hak milik tanah kepada peserta tanah rancangan Felca Seri Bandi, semalam.
Turut hadir Pengurus Kumpulan Hal Ehwal Peserta Felcra Berhad Mohd Fauzi Mohd Tahir dan Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Timur, Saudi Sitor.
Ahmad Said berkata kerajaan sangat menghargai jasa peserta yang terpaksa menghadapi pelbagai rintangan sebagai peserta Felcra yang berjaya mengusahkan tanah rancangan itu.
Kamaruddin Mohd Noor, 49, yang menjadi peserta Felcra sejak 30 tahun lalu, mengalirkan air mata gembira atas kurniaan geran itu dan berkata kerajaan menepati janji dengan menyampaikan geran itu.
"Sudah lama saya tunggu saat ini, dan pengagihan geran hari ini merupakan kemuncak segala perjuangan peserta Felcar Seri Bandi," katanya. Beliau yang menyertai Felcra sejak bujang, bersyukur kerana tanah tersebut satu-satunya harta yang mampu dimilikinya yang akan menjadi pewaris kepada tiga anaknya.
Rakannya Abdul Rahman Harun, 53, pula melahirkan syukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan Felcra yang mengurniakan geran tanah untuknya.
"Inilah yang dikatakan Perdana Menteri, Janji Ditepati, siapa nak bagi tanah seluas empat hektar dengan nilai melebih RM400,000," katanya dengan penuh terharu.
No comments:
Post a Comment