Wednesday, March 27, 2013

2 Kakitangan Pejabat Tanah Besut Kerna Dakwa


Dua kakitangan Pejabat Tanah Daerah Besut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Kuala Terengganu, kelmarin atas dakwaan menipu seorang lelaki bagi mendorong mangsa membuat sejumlah pembayaran kepada mereka, Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Tuan Faizul Azli Tuan Man, 25, dan Tuan Saiful Adli Tuan Mansor, 28, dari Jertih, Besut, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Mereka yang memegang jawatan sebagai Pekerja Am Rendah di jabatan berkenaan berdepan dua pertuduhan iaitu pertuduhan pertama pada 22 Jun tahun lalu, jam 2 petang di tepi sungai Rua, Felcra Keruak, Kampung Keruak, Hulu Besut, Besut, bersama-sama didakwa telah menipu mangsa, Ismail Mat Noor, 44.

Mereka didakwa telah memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa mangsa telah melakukan kesalahan dengan melanggar syarat pengalihan pasir sungai dan disebabkan itu mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai RM2,000 kononnya sebagai bayaran kompaun, yang mana mangsa tidak akan sesekali menyerahkannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Selain itu, mengikut pertuduhan kedua, kedua-dua mereka didakwa mengulangi perbuatan sama iaitu memperdayakan mangsa dengan alasan sama di hadapan sebuah bank di cawangan Jerteh, Bandar Jerteh, Besut, pada 24 Jun 2012, jam 10.30 pagi, yang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM2,000 kepada mereka.

Dengan itu, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah mereka direkodkan, Zainal Abidin menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM8,000 bagi dua pertuduhan.

Zainal Abidin turut menetapkan dua syarat iaitu mereka perlu melaporkan diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu sebelum 4 hari bulan setiap bulan dan dilarang sama sekali meninggalkan daerah Besut tanpa kebenaran.

Sekiranya mereka didapati melanggar dua syarat itu, secara automatik jaminan akan terlucut dan terbatal. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Farah Yasmin Salleh.

SH Online

No comments:

Post a Comment