Seramai 320 pasangan yang mengalami masalah rumah tangga bakal menduduki program 'bulan madu' anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
Pengarahnya YPKT Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata kursus selama dua hari satu malam tersebut bertujuan memulihkan hubungan suami isteri yang sedang dalam keadaan meruncing.
Program mendapat kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara yang menyediakan modul kursus serta Mahkamah Syariah Terengganu.
Mohd Shafaruddin berkata pasangan suami isteri yang dipilih menyertai kursus tersebut ialah mereka yang mengalami masalah rumah tangga sehingga ada yang memohon penceraian di Mahkamah Syariah.
"Setiap sesi akan disertai 40 pasangan dan YPKT menjangka akan mengadakan lapan sesi program di beberapa lokasi pelancongan terkenal dalam negara seperti Pulau Langkawi, Pulau Perhentian serta Pulau Redang," katanya.
Beliau berkata sejak diperkenalkan awal tahun 2010, seramai 278 pasangan telah mengikuti program yang turut diberi pengisian rohani kepada pasangan suami isteri.
Mengikut rekod YPKT, sejak enam tahun lalu, sejumlah 11,000 hingga 14,000 pasangan berkahwin di Terengganu dan daripada jumlah itu, 10 hingga 15 peratus terlibat dalam kes penceraian.
No comments:
Post a Comment