Muhammad Rauf sekadar menduduki tempat ke-15 pada hari terakhir acara lebuh raya pada ACC 2013 semalam. |
Pemecut Terengganu Cycling Team (TSG) itu muncul sebagai pelumba terbaik negara pada perlumbaan tersebut apabila melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 36 minit 38 saat.
Muhammad Rauf Misbah pula menduduki tempat ke-15 (3:37.17s), Mohd. Zamri Salleh menduduki tempat ke-16 (3:39.38s) manakala Amir Mustafa Rusli menamatkan saingan di tempat ke-24 dengan catatan masa 3:39.43s.
Acara tersebut dimenangi pelumba Uzbekistan, Muradjan Halmuratov yang merakam masa 3:33.59s diikuti tonggak Iran, Arvin Moazemi Goudarzi yang meraih pingat perak dengan masa 3:34.11s. Andrey Mizurov dari Kazakhstan pula memenangi pingat gangsa dengan masa 3:34.16s.
Dengan kemenangan tersebut, Halmuratov telah mendominasi pingat emas acara ujian masa individu (ITT) elit lelaki dan acara lepas beramai-ramai elit lelaki.
Namun, pada satu ketika, impian Malaysia dilihat cerah apabila Amir Mustafa melakukan pemecahan bersama pelumba Indonesia sejauh 70km.
Mohd. Zamri pula melakukan pemecahan pada pusingan kedua tetapi dia tidak mampu bertahan lama.
Mohd. Harrif bagaimanapun berikrar untuk menyumbang pingat pada ACC 2014 yang bakal diadakan di Astana, Kazakhstan.
"Saya dimaklumkan laluan di Astana juga landai. Saya akan berusaha lebih keras lagi selepas ini untuk menang pingat. Saya memang mengidam pingat menerusi acara lebuh raya," katanya.
Bagi jurulatih negara, Aminuddin Sulaiman pula berkata, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya biarpun mereka gagal berada di podium.
"Apa yang saya lihat, prestasi para pelumba negara menunjukkan peningkatan sejak Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan lalu. Ini cukup membanggakan saya kerana mereka sudah dapat memperlihatkan kerjasama berpasukan yang cukup baik.
"Pada perlumbaan hari ini (semalam), setiap pelumba melakukan kerja masing-masing dengan baik. Mereka sudah tahu tugas yang perlu dilakukan dan hanya disebabkan kesilapan strategi, kita gagal untuk melihat seorang pelumba negara berada di podium." katanya.
Menurut Aminuddin, barisan pelumba yang dipertaruhkan semalam merupakan antara yang terbaik, sekali gus memberi petanda awal betapa skuad lebuh raya negara mampu menampilkan prestasi lebih baik pada temasya Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.
"Ini adalah barisan pelumba terbaik yang kita ada. Selain itu, saya akan tetap memantau perkembangan Anuar (Manan) biarpun dia tidak beraksi pada ACC kali ini.
"Melihatkan prestasi Anuar pada LTdL lalu, dia masih dianggap antara pakar pecut terbaik di negara selain Harrif," ujarnya.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment