Thursday, March 21, 2013

AMM Kelantan Bekerjasama Dengan Pahang, Terengganu Banteras Pencerobohan

Pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam dan Thailand kini dikesan mengubah laluan daripada memasuki kawasan perairan Kelantan, ke perairan Terengganu dan Pahang.

Ketua Penguatkuasa Maritim Kelantan Kapten Maritim Wan Burharnuddin Wan Jusoh berkata perubahan itu dipercayai berikutan kawalan ketat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kelantan sehingga menyukarkan bot-bot asing menceroboh, terutama pada waktu malam.

Bercakap kepada pemberita di pejabat APMM di sini hari ini, beliau berkata APMM Kelantan akan mempertingkatkan kerjasama dengan APMM Terengganu dan Pahang untuk membanteras pencerobohan perairan negara dan menguatkuasakan undang-undang di perairan ketiga-tiga negeri berkenaan.

Menurutnya, baru-baru ini APMM Terengganu dan APMM Pahang menahan sebuah bot nelayan asing masing-masing di perairan Bidong laut di Terengganu dan perairan Tenggol, di Pahang.

Sementara itu, beliau berkata dalam kejadian terbaharu pada 10.20 malam tadi, pihaknya menahan dua bot nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan Kelantan, kira-kira 26 batu nautika dari pantai Tok Bali di Pasir Puteh.

Katanya, dua tekong dan 20 awak-awak yang berada dalam kedua-dua bot berkenaan ditahan dan bot mereka ditunda ke pelabuhan APMM Tok Bali untuk tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.

No comments:

Post a Comment