Saturday, March 2, 2013

Banjir - Hanya Setiu Masih Terjejas

Romlah Mohd. Ali mengikat botnya daripada dihanyut oleh banjir di Kampung Penarik Setiu, 28 Februari lalu.
Tiga daripada empat daerah terjejas banjir di Terengganu telah pulih kecuali daerah Setiu yang masih terdapat 26 mangsa di pusat pemindahan, setakat 8 malam semalam.

Menurut portal banjir negeri, pusat pemindahan Surau Kampung Nyatoh di Setiu masih beroperasi dengan menempatkan enam keluarga.

Dijangkakan kesemua mangsa akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, esok. Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu tiga hari lepas, membabitkan daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun.

Sejak pagi semalam, keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Perak semakin pulih berikutan cuaca baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan di tiga negeri itu kini seramai 1,888 orang berbanding 2,289 orang malam kelmarin.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 10 pusat penempatan di tiga jajahan berkurangan kepada 1,713 orang berbanding 2,112 orang pada sebelah malam.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, Jajahan Pasir Mas mencatatkan 1,535 orang yang dipindahkan diikuti Tumpat (154 orang) dan Pasir Puteh (24 orang). Sungai Golok di Rantau Panjang masih di paras bahaya namun bacaannya semakin surut iaitu pada 9.98 meter, melebihi bahaya 9 meter. Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dilaporkan kembali dibuka kepada orang ramai pagi ini berikutan air yang mulai surut. Cuaca di Kelantan dilaporkan cerah pagi semalam.

Di TERENGGANU, pagi semalam, mangsa banjir kekal 80 orang di dua pusat pemindahan di daerah Setiu membabitkan 18 keluarga.

Sementara itu, laman portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaporkan hanya satu jalan masih ditutup untuk kenderaan ringan iaitu di Sec.10, Jalan Permaisuri-Hulu Seladang (Kampung Besut) di Setiu. Di PERAK, menurut portal MKN hanya daerah Manjung masih dilanda banjir dan mangsa kekal 95 orang di sebuah pusat pemindahan.

No comments:

Post a Comment