Friday, March 15, 2013

Bantuan Banjir Untuk 159 Keluarga Sebanyak RM3,000 Sekeluarga

Idris melihat wang tunai berjumlah RM3,000 sebelum disampaikan kepada seorang mangsa banjir Kampung Padang Bual.
Sebanyak 159 keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir gelombang pertama pada Disember lalu, kini boleh menarik nafas lega selepas menerima bayaran wang ihsan oleh kerajaan sebanyak RM3,000 setiap keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Kampung Padang Bual, Ismail Abdul Kadir berkata, mereka bersyukur dengan jumlah wang ihsan berkenaan kerana nilai itu berpatutan bagi meringankan beban mereka.

“Wang tersebut akan digunakan penduduk untuk mengganti peralatan rumah yang rosak selepas rumah mereka ditenggelami air secara mendadak yang didakwa ada kaitan dengan tebing tanah yang pecah di projek Empangan Paya Peda.

“Kebanyakan mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing kerana air naik dengan pantas,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Wang Ehsan Banjir Kampung Padang Bual di pekarangan masjid kampung itu yang disampaikan Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohamad Hashim Abdullah, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (AIDA Ketara), Mohamed Kaberi Ghani.

Idris berkata, bayaran wang ihsan itu bukti kerajaan menepati janji yang diberikan sebelum ini bahawa mangsa banjir kampung tersebut akan dibantu.

Sementara itu Mohamad Hashim pula memberitahu, jumlah terbaru wang ihsan yang diberikan kepada mangsa banjir adalah lebih munasabah berbanding nilai bayaran sebelum ini.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib turut membantah cadangan sumbangan wang ihsan tambahan sebanyak RM1,000 kepada penduduk Kampung Padang Bual kerana berpendapat berpendapat nilai tersebut tidak begitu munasabah.

Menurutnya, Najib meminta kementerian membayar dengan jumlah RM3,000 bagi setiap keluarga bagi mengurangkan beban mangsa.

SH Online

No comments:

Post a Comment