Ahmad Said melekatkan pelekat pasukan keselamatan pada kenderaan Pasukan Keselamatan Pilihan Raya BN Parlimen Kemaman, petang semalam. |
Ahmad Said berkata, beliau terkejut apabila melihat bendera Umno dan BN berlonggok di atas tanah ketika melalui kawasan simpang Kampung Bukit Anak Dara, Kijal malam kelmarin.
“Saya pada awalnya sangka bendera berkenaan baru nak dipasang tetapi rupa-rupanya ia dicabut pihak tidak bertanggungjawab.
“Selain itu, beratus-ratus lagi bendera kita dicampak ke dalam sungai, paya dan semak di beberapa tempat lagi di Kijal. Kes cabut bendera ini juga berlaku di Marang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasukan Keselamatan Pilihan Raya BN Parlimen Kemaman di pekarangan Pejabat Dun Chukai, di sini, petang semalam.
Hadir sama, Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman, Senator Rohani Abdullah.
Dalam pada itu, Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu mengingatkan semua petugas pasukan keselamatan di negeri itu supaya tidak melayan perbuatan provokasi mencabut bendera itu yang dipercayai didalangi parti pembangkang.
Sebaliknya, Ahmad Said mahu mahu petugas parti mengikut saluran undang-undang dengan membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
“Saya sudah beritahu petugas kita supaya terus membuat laporan polis mengenai kejadian ini,” katanya sambil menasihati petugas jentera keselamatan supaya tidak menggunakan kekasaran dan bertindak agresif terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetus provokasi kerana keutamaan mereka adalah memastikan aset dan bendera parti tidak dimusnahkan.
Menurutnya, keseluruhan anggota Pasukan Keselamatan Pilihan Raya BN Parlimen Kemaman berjumlah 1,400 orang.
Jentera keselamatan BN yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dan skuad bermotosikal itu juga akan melakukan pemantauan bagi mengenal pasti siapa dalang yang melakukan perbuatan mencabut dan membuang bendera parti itu sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ahmad Said berkata, bagi kes yang berlaku di Kijal, beliau telah mengarahkan laporan polis dibuat. "Begitu juga dengan beberapa tempat di daerah lain seluruh Terengganu termasuk di Marang,” katanya.
No comments:
Post a Comment