Kesemua tertuduh dipenjara 15 tahun dan dikenakan 10 sebatan selepas mengaku bersalah melakukan rompakan bersenjata di Mahkamah Sesyen, di Kuala Terengganu. |
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas keempat-empat tertuduh, Mustawal Mustamin, 45; Yogi Saputra Sulaiman, 38; Ariffin Ahmad, 33; dan Sapri Salleh, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.
Mereka mengaku bersalah bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan parang, pisau dan pemutar skru terhadap Ramli Abdul Rani, 55, di sebuah rumah di Jalan Sekolah Menengah Pelagat, Jertih, Besut, kira-kira jam 3.15 pagi, 17 Mei 2008.
Dalam rompakan itu, mereka mengaku bersalah melarikan dua buah komputer riba; sebilah lawi ayam berhulu kayu; sebuah beg hitam berisi dua helai baju t dan sehelai seluar jeans; sekeping mata wang Arab Saudi bernilai 50 riyal; dua keping mata wang Arab Saudi bernilai satu riyal; sepucuk revolver S&W SPL Smith& Wesson Springfields; sebuah beg hitam, dan enam butir peluru jenis Smith & Wesson.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Zainal Abidin dalam penghakimannya berkata, hukuman yang diberikan adalah untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan insaf dengan perbuatan yang dilakukan.
“Saya harap kamu semua insaf dan fikirkanlah apa yang kamu lakukan. Kamu datang ke Malaysia pastinya untuk mencari rezeki dan sepatutnya kamu berfikir dulu sebelum melakukan jenayah ini, apatah lagi kamu semua sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab.
“Ini juga bukan kesalahan pertama kamu dan sebelum ini kamu sudah dikenakan hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan sama,” katanya.
Sebelum ini, suasana di dalam mahkamah gamat seketika selepas dua tertuduh, Ariffin dan Sapri dalam rayuannya mendakwa dihantar oleh ejen ke negara ini semata-mata untuk merompak bagi membayar hutang ejen, selain diugut akan dibuang pasport jika enggan berbuat demikian.
Pada masa sama, Sapri turut meluahkan rasa kekesalan dan memohon maaf kepada mangsa selepas menyesali perbuatannya itu
SH Online
No comments:
Post a Comment