Friday, March 15, 2013

Jambatan Bukit Kuang Akan Dibuka September


Jambatan Bukit Kuang, Kemaman yang dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, menangani masalah banjir dan meningkatkan kegiatan ekonomi menerusi sektor perindustrian akan mula dibuka untuk laluan pengguna pada September depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata untuk permulaan jambatan berkenaan akan dibuka dua lorong, bagi memudahkan pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.

"Insya-Allah, jambatan Bukit Kuang akan dibuka dua lorong pada September depan, sebelum boleh beroperasi sepenuhnya dengan empat lorong dibuka untuk kemudahan pengguna," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Mengikut perancangan, jambatan empat lorong Bukit Kuang yang dibina dengan kos RM185 juta siap pada September depan, bagaimanapun ia mengalami sedikit kelewatan berikutan keadaan cuaca dan musim tengkujuh yang menjejaskan kelancaran projek.

Pembinaan jambatan empat lorong sepanjang satu kilometer itu dibuat berikutan keperluan mendesak trafik, selain semakin banyak pelaburan dan kilang baru masuk di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kijal.

Selain itu, jambatan yang dibina lebih tinggi dari biasa iaitu 15 meter itu turut akan memberi ruang kepada kapal dari pelabuhan keluar masuk, dengan jangkaan banyak tanah sekitar Sungai Bukit Kuang akan disewa untuk dijadikan pusat baik pulih kapal dan pusat mengisi minyak serta air.

Apabila projek jambatan ini siap pada akhir 2013, projek baru yang sudah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di sekitar Bandar Kijal termasuk pembinaan jalan raya empat lorong bagi melancarkan kesesakan lalu lintas akan dimulakan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mencabut bendera parti politik yang dipasang di kawasan larangan, terutama jambatan bagi mengelak bahaya kepada orang awam.

"Tidak kira bendera parti politik mana, arahan sudah dikeluarkan kepada PBT supaya Mencabut bendera di kawasan jambatan dan bulatan, terutama yang dipacak menggunakan kayu kerana ia berbahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal," katanya.

Teganukita

No comments:

Post a Comment