Thursday, March 14, 2013

Kelewatan Berlaku Pembayaran Wang Kemenangan Monsoon Cup & MMRC?

Ahmad Shabery melekatkan replika bola pada poster perlawanan amal antarabangsa antara Malaysia dengan Palestin selepas majlis pengumuman perlawanan tersebut di Putrajaya semalam sambil disaksikan (dari kanan) Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong; Naib Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal; KSU KBS, Datuk Mohid Mohamad dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.
“Jangan heret KBS dalam kemelut anda.” Itu amaran daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai kelewatan pembayaran wang kemenangan kepada pelayar Sirkit Match Racing Malaysia (MMRC) serta Monsoon Cup oleh T-Best Events Sdn. Bhd. (T-Best).

Isu berkenaan timbul apabila pelayar negara, Jeremy Koo dari pasukan Koo Racing serta Hazwan Hazim Dermawan (Permai Hotel Match Racing Team) dan Harisfabillah Muhammad (Royal Malaysian Navy Match Racing Team) mendakwa masih belum menerima hadiah kemenangan mereka.

Selaku penganjur, T-Best mendakwa, mereka masih belum menerima peruntukan daripada KBS, namun selepas masalah itu didedahkan oleh media tempatan, Jeremy akhirnya menerima bayaran berjumlah RM8,000.

Hazwan pula menerima RM5,000 dan Harisfabillah yang mendapat tempat kedua dan ketiga, turut menerima hadiah kemenangan tersebut kelmarin.

Bagaimanapun, Jeremy yang layak ke siri penutup Jelajah Alpari World Match Racing iaitu Monsoon Cup, masih gagal menerima habuan bernilai RM50,000 sebagai bonus selepas terpilih beraksi dalam acara berprestij itu.

Mengikut prosedur, hadiah kemenangan yang diraih Jeremy pada MMRC dan Monsoon Cup tersebut sepatutnya diterima 45 hari selepas acara berakhir.

Mengikut rekod, MMRC berakhir 30 November tahun lalu manakala Monsoon Cup pula menutup tirainya pada 8 Disember.

Bukan itu saja, KBS juga berkemungkinan besar akan menilai semula pemberian dana tahunan bagi acara tersebut sekiranya terdapat bukti ia disalahgunakan.

Jelas Shabery lagi, KBS telah membuat 90 peratus bayaran kepada T-Best dan bakinya akan dibayar selepas kementerian tersebut mendapat laporan audit daripada T-Best.

“Ia satu jumlah yang besar dan sudah tentu kita mahu melihat laporan audit terlebih dulu sebelum membuat bayaran penuh,

Perlu diingat, kita mempunyai prosedur tertentu dan ia perlu dipatuhi.

“Untuk maklumat, KBS telah membayar 90 peratus daripada jumlah dana tahunan itu yang bernilai RM20 juta. Jadi, jangan salahkan KBS dengan mengatakan kami tidak membuat bayaran,” tegas Ahmad Shabery yang turut menjelaskan prosedur pembayaran tersebut sudah diamalkan sejak lima tahun lalu.

Ahmad Shabery juga memberitahu, apa yang berlaku kini adalah antara T-Best dan pelayar yang memenangi kejohanan tersebut.

“Mereka (T-Best) tidak boleh lepas tangan. Apabila kamu menganjurkan sesuatu, sudah tentu kamu mempunyai wang yang mencukupi untuk melakukannya termasuk menyediakan hadiah kemenangan,” katanya selepas mengumumkan perlawanan bola sepak amal antara skuad negara dengan Palestin di Putrajaya semalam.

 “Ini satu jumlah yang cukup besar, dan kita perlu bertanggungjawab ke mana wang itu disalurkan. Jika ada yang tidak kena, KBS akan melihat sama ada mahu meneruskan dana ke atas penganjuran acara tersebut serta kontrak ke atas T-Best atau sebaliknya,” tambah Ahmad Shabery.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment