Thursday, March 21, 2013

Kerajaan Terengganu Lanjut Tempoh Bayar Cukai Tanah


Kerajaan negeri Terengganu mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah yang sepatutnya tamat pada 31 Mei, selama dua bulan lagi, kepada 31 Julai.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata keputusan itu dibuat bagi memudah dan meringankan rakyat negeri ini membayar cukai tanah secara penuh.

"Mesyuarat Exco hari ini mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah seperti tahun-tahun sebelum ini.

Ia bertujuan bagi memberi galakan dan meringankan tuan tanah mebayar cukai. "Kami rasa Terengganulah negeri yang paling rendah mengenakan bayaran cukai tanah iaitu RM2 sahaja bagi satu lot (kira-kira 0.1 hektar)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco semalam.

Ahmad Said berkata hanya 70 peratus rakyat negeri ini membayar cukai tanah pada setiap tahun dan jika semua pemilik membuat bayaran, kerajaan negeri hanya memperoleh RM27 juta.

Katanya, sejak lima tahun lepas Terengganu mengagihkan sebanyak 20,000 lot tanah kepada rakyat negeri ini sebagai tapak kediaman dan tanah pertanian.

Daripada jumlah itu sebanyak 12,000 lot ialah untuk tapak kediaman manakala selebihnya bagi tanah pertanian.

Mengenai keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan Isnin, Ahmad mengucapkan tahniah kepada pelajar dan semua yang terlibat kerana keputusan itu merupakan keputusan terbaik negeri.

"Lebih membanggakan dua pelajar Terengganu terpilih buat pertama kali sebagai calon terbaik negara," katanya.

No comments:

Post a Comment