Saturday, March 16, 2013

KPKT Baik Pulih 21 Kawasan Kritikal Perumahan Pangsa Seluruh Negara

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membaik pulih dan menjalankan kerja penyelenggaraan di 21 kawasan perumahan pangsa yang dikenal pasti sebagai kawasan kritikal di seluruh negara melalui projek Kejiranan Indah Desa Keluarga pada tahun ini

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPKT, Datuk Noriah Hashim berkata sepanjang tahun lepas pihaknya telah menjalankan projek itu di lapan kawasan perumahan pangsa di Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor melibatkan kos RM18.4 juta

 "Projek ini bertujuan memberi keselesaan kepada penduduk di mana kita membaiki lif yang rosak, mengecat semula bangunan, mengindahkan landskap di kawasan perumahan serta membaiki prasarana di kawasan itu.

"Kos yang diperuntukkan adalah berbeza mengikut tahap kerosakan di sesebuah kawasan perumahan pangsa itu dan bagi Flet Kampung Bijangga ini, KPKT memperuntukkan RM4.3 juta termasuk menukar tangki air baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan Kejiranan Indah yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Terengganu, Datuk Zaabar Mohd Adib di flat Kampung Bijangga di Dungun, semalam.

Dilancarkan Julai tahun lepas, projek itu hanya dilaksanakan di kawasan perumahan pangsa yang dibina kerajaan pusat atau negeri sahaja dan akan diperluas ke seluruh negara dari semasa ke semasa.

Beliau turut berharap agar penduduk di kawasan terpilih supaya bekerjasama menjaga kebersihan dan bersedia menukar mentaliti kepada kelas pertama setaraf kemudahan prasarana dan infrastruktur yang disediakan kerajaan.

"Kebanyakan rumah flat ini sudah dibina lama dan banyak aspek penyelenggaraan kadang-kadang terlepas pandang akibat kekangan kewangan dan KPKT prihatin dengan masalah ini bersetuju menampung kos pembaikan itu demi keselesaan penduduk," katanya.

Sehingga kini, di Terengganu terdapat empat kawasan perumahan yang ditadbir urus oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) iaitu di Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Setiu

No comments:

Post a Comment