Friday, March 1, 2013

LTdL2013 - Mampukah Mohd Hariff Salleh, Anuar Manan & TSG Penuhi Impian Ahmad Said, Rakyat Terengganu?

 Rakyat Terengganu terutamanya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengharapkan kemenangan pelumba tempatan terutamanya yang mewakili pasukan lumba basikal Terengganu atau TSG memenangi sekurang-kurangnya tempat ketiga bagi acara pecut untuk membolehkan mereka menaiki podium.


 Analisis Hambali Abdul Latiff

Hari ini (Jumaat 1 Mac 2013), masuk perlumbaan peringkat ke sembilan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Dengan perlumbaan berbaki dua peringkat. kejohanan lumba basikal yang kini sudah berada di Terengganu sejak kelmarin menunggu esok untuk acara kemuncak yang akan bersakhir di Dataran Syahbandar Kuala Terengganu.

Edisi ke-18 perlumbaan 10 peringkat itu bermula pada 21 Februari lalu hingga esok, Sabtu 2 Mac dengan jarak keseluruhan lebih 1,480 kilometer. Sebanyak empat peringkat terakhir dirancang berlangsung di Terengganu melibatkan laluan peringkat ketujuh dari Kuantan-Dungun sejauh 149.8km, peringkat kelapan Kuala Terengganu-Tanah Merah sepanjang164.5km, peringkat kesembilan Pasir Putih-Kuala Berang sejauh 123.6km dan peringkat akhir Tasik Kenyir-Kuala Terengganu sepanjang 114.8km.

Bagaimanpun, perlumbaan peringkat kelapan semalam menggunakan tempat pelepasan permulaan dan penamat yang sama, cuma selepas melalui Tok Bali, perlumbaan tidak akan melalui Pasir Puteh tetapi melalui laluan ke Jelawat, Bachok dan Machang untuk ke Tanah Merah.

Ketua pegawai operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata semalam, akibat banjir, daripada lencongan yang dilakukan itu, jarak laluan perlumbaan semalam bertambah lebih 20 kilometer menjadikan 188 kilometer semuanya.


Sehingga ke peringkat kelapan kejohanan LTdL 2013 semalam, kita belum dapat melihat seorang pun pelumba tempatan menaiki podium.

Menjadi hasrat rakyat Terengganu khususnya untuk melihat anak Terengganu terutamanya yang mewakili pasukan lumba basikal Terengganu atau TSG memenangi sekurang-kurangnya tempat ketiga bagi acara pecut untuk membolehkan mereka menaiki podium.
 
Harapan yang disandarkan kepada beberapa nama tempatan yang berjaya menaiki podium pada kejohanan lalu nampaknya masih tinggal harapan. Mohd. Harrif Saleh serta abangnya Mohd Zamri Saleh, Mohd Saufi Mat Senan, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Nor Umardi Rosdi dari TSG, serta Mohd Adiq Hussainie Othman dari Champion System Pro Cycling belum menunjukkan prestasi sebenar setakat ini. Hanya Anuar Manan dari Synergy-Baku Cycling Project membawa sedikit sinar serta harapan untuk menaiki podium pada dua hari terakhir kejohanan, iaitu hari ini dan esok.


Sementara Amir Mustafa Rusli dan Yusrizal Usoff dari pasukan Kebangsaan Malaysia, juga belum menunjukkan tanda-tanda akan menggapai kemenangan yang membolehkan mereka menaiki podium. Berbekalkan semangat ingin melakar kejayaan di negeri sendiri, pelumba Terengganu sememang berusaha sedaya upaya untuk memenangi tempat pertama hingga ketiga namun ia masih tinggal harapan.

Kali ini terdapat 15 orang pelumba Malaysia dalam saingan LTdL bagaimanapun mereka masih tidak berupaya untuk menyaingi pelumba-pelumba Eropah yang mempunyai kelajuan kayuhan yang tinggi.

Pada 14 Februari lalu, pelumba pasukan TSG, Mohd Harrif Salleh meletakkan sasaran untuk menyandang gelaran Raja Pecut pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTDL) ke-18 dari 21 Februari hingga 2 Mac ini. Pelumba berusia 25 tahun itu mengatakan sasaran dibuat berdasarkan posisi sprinter yang akan dipikulnya nanti.

Anak kelahiran Kampung Ladang ini yang mengetuai cabaran pada kali ini berkata beliau sudah bersedia hampir 90 peratus dari segi fizikal dan mental. Berdasarkan keputusan dalam saingan LTdL edisi ke-17 yang lepas, TSG yang ketika itu turut disertai oleh pelumba dari Korea dan Jepun berjaya menduduki tangga ke-10 daripada 22 pasukan keseluruhan serta tangga ketiga bagi kategori Asia.

Pada perlumbaan tahun lalu, Hariff berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali iaitu pada peringkat keempat (tempat ketiga), kelapan (tempat kedua) serta kesepuluh (tempat keempat). Kali ini pada peringkat ketiga perlumbaan sejauh 117.8km dari Serdang ke Kuala Kangsar walaupun berada dalam kelompok utama menuju ke garisan penamat Hariff layak menjadi pelumba terbaik Malaysia di tempat ke-13 pada perlumbaan yang dimenangi Bos, pelumba Belanda yang turut merangkul peringkat pembukaan pada hari pertama.

Hariff melakar nama peringkat keenam sejauh 217.50km dari Mentakab ke Kuantan pada 26 Februari apabila menduduki tempat ke sembilan, iaitu di depan Annuar Manan di tempat ke 10.


Pelumba Olimpik negara, Mohammed Adiq Husainie Othman juga dari Terengganu pada 25 Februari lalu menjadi pelumba pertama Malaysia tiba di puncak Genting Highlands pada perlumbaan peringkat kelima jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Pelumba berusia 22 tahun yang mewakili pasukan Champion System Pro Cycling itu menamatkan saingan pendakian dari Proton ke Genting Highlands sejauh 110.3km itu dengan menduduki tempat ke-32.

Beliau mencatat masa tiga jam, 20 minit dan dua saat, 08:21s di belakang pemenang peringkat itu dan jersi kuning dan merah, Julian David Arredondo Moreno daripada Team Nippo-De Rosa.

Pelumba dari Colombia itu mencatat masa 3'11:41s untuk tiba awal di garisan penamat. Sehingga pusingan kelapan semalam, Mohamed Adiq Hussainie kekal sebagai pelumba terbaik Malaysia keseluruhan dengan mengumpul 29'44:01s selepas lapan peringkat perlumbaan.


Pelumba itu setakat ini berada di tempat ke-29 keseluruhan, 12 minit dan sembilan saat di belakang pemegang jersi kuning, Julian David Arredondo Moreno daripada Team Nippo-De Rosa. Seorang lagi pelumba anak Terengganu yang diharap menyinar ialah Anuar Manan yang kini bersaing melalui Synergy-Baku Cycling Project selepas hasratnya mewakili TSG langsung tidak dilayan.

Jaguh pecut berbasikal lebuh raya itu menunjukkan henjutan ke garisan penamat pada perlumbaan peringkat pertama antara Kangar dan Kulim 21 Februari lalu sejauh 162,7 kilometer dengan menduduki tempat ketujuh.

Pada saingan peringkat kedua 22 Februari antara Serdang ke Kuala Kangsar sejauh 117.8 kilometer, Annuar membuktikan keupayaannya dengan menjadi tiga pelumba terbaik Asia untuk Jersi Putih di tempat kedua, selain mengumpul mata (6 mata) bagi Raja Bukit (Jersi Merah).

Pada peringkat keempat 24 Februari lalu yang bermula dari Tapah berakhir di Kapar, pelumba berusia 27 tahun menamatkan saingan sejauh 168km di tempat kelapan.

Selepas perlumbaan itu Anuar berada di kedudukan keenam dalam saingan 'Raja Pecut' (jersi biru) dengan mengumpul 29 mata.

Anuar sekali lagi membuktikan keupayaannya pada saingan peringkat keenam pada 26 Februari apabila mengumpul 43 poin untuk Raja Pecut (Jersi Biru) di belakang Andrea Guardini dari Itali yang mewakili Astana Pro Team dengan 57 poin selain di depan Wang Meiyin (China) mewakili Hengxiang Cycling Team dengan 36 poin.

Walaupun menduduki tempat ke 25 pada saingan peringkat ketujuh antara Kuantan-Dungun (149.80km) kelmarin, Anuar terus mengumpul mata pertandingan Pecut (Jersi Biru) dengan 50 poin di belakang Guardini dengan 72 poin dan Francesco Chicchi (Itali) dari pasukan Vini Fantini-Selle Italia dengan 47 poin.

Semalam pada peringkat kelapan sejauh 164.50 kilometer dari Kuala Terengganu ke Tanah Merah Anuar menempatkan dirinya di kelompok 10 pelumba terbaik apabila menduduki tempat kelapan sementara rakan saingannya dari Terengganu terus berada di belakang.


Ini termasuklah Mohd Adiq Hussainie tempat ke 13, diikuti Mohd Saufi Mat Senan (TSG), Mohd Fauzan Ahmad Lutfi (MAS) Malaysia National Team di tempat 17, Mohd Nor Rizuan Zainal, Malaysia National Team di tempat ke 43 dan Mohd Harrif di tempat 44. Pelumba lain trmasuklah Amir Mustafa Rusli, Malaysia National Team (tempat 55), Md Rauf Nur Misbah, Malaysia National Team (56), Mohd Zamri Salleh (TSG) tempat ke 96 serta Mohd Nor Umardi Rosdi (TSG) di tempat108 dan Mohd Shahrul Mat Amin (TSG) di tempat ke 113.

Amat jelas bahawa Anuar hanya pelumba yang membawa cabaran anak tempat kerana masih bersaing untuk Jersi Biru pada ketika Guardini terus mendahului dengan 84 poin dan Francesco Chicchi memintas Anbuar dengan 60 poin sementara Anuar dengan 57 poin.

Rakyat Terengganu terutamanya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengharapkan kemenangan pelumba tempatan pada LTdL 2013 edisi ke-18 semakin baik berbanding kejohanan lalu.

TSG dikatakan menyusun perancangan teliti bagi memastikan tujuh pelumba bersedia memenuhi sasaran kedudukan terbaik kejohanan LtdL kali ini.

Pelumba yang mengalas tugas itu selain Mohd Harrif ialah, Mohd Shahrul Mat Amin, 24, Mohammad Saufi Mat Senan, 23, Mohd Nor Umardi Rosdi, 27, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, 21, Mohd Zamri Salleh, 30 dan Mohd Saiful Anuar Aziz, 27.

Ahmad Said berkata sebelum ini TSG memberi tumpuan terhadap kecergasan pelumba sebelum menyusun perancangan terakhir menjelang perlumbaan edisi ke-18 it.

Pasukan lumba basikal profesional yang ditubuhkan kerajaan negeri pada April tahun 2011 itu telah menyertai 27 kejohanan sepanjang tahun 2011 termasuk 13 kejohanan di luar negara.

"Apabila memasuki tahun 2012, pelumba TSG menyertai latihan intensif di Terengganu dan memasuki kem latihan di Chiang Mai, Thailand selama tiga bulan…Apa yang penting ketika ini adalah memastikan tahap kecergasan pelumba berada di tahap yang baik supaya dapat dipertingkatkan lagi menjelang bermulanya LTdL, " demikian tegas Ahmad Said.
 
Selain mempunyai pasukan lumba basikal sendiri, kerajaan negeri Terengganu sanggup menjadi penaja utama perlumbaan jelajah ini kerana ia sempena program Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Selain itu kerajaan negeri menjadi penaja jersi kuning dengan menyumbangkan RM2 juta di mana jersi berkenaan akan memaparkan dengan jelas tema TMT 2013.

Jersi kuning digunakan pelumba pendahulu kejohanan yang lazimnya mendapat liputan meluas pihak media. Kerajaan negeri berpendapat tajaan jersi kuning ini jauh lebih berbaloi daripada berbelanja membeli masa siaran atau membuat produksi rancangan televisyen bagi tujuan mempromosikan TMT 2013 di persada antarabangsa.

Tahun lepas, kerajaan negeri Terengganu juga memberi tajaan iaitu separuh daripada jumlah tahun ini bagi menjayakan kejohanan berbasikal paling berprestij di Asia itu.

Bagi kerajaan Terengganu, promosi tajaan TMT 2013 melalui acara ini mampu memberi impak besar kepada ekonomi dan industri pelancongan negeri kerana LTdL telah menandatangani perjanjian dengan Eurosports bagi menyiarkan perlumbaan itu kepada lebih 600 juta penonton seluruh dunia.

Menteri Besar berkata pada 30 Januari lalu, LTdL 2012 telah menarik lebih sejuta penonton televisyen berbanding 800,000 pada edisi 2011, sekali gus membuktikan LTdL semakin diminati rakyat di negara ini.

Selain kemeriahan perlumbaan itu sendiri, kerajaan negeri turut menganjurkan bulan berbasikal mulai 1 Februari lalu selain karnival di Dataran Shahbandar dan edisi kayuhan 'Hotride', iaitu jelajah ke semua daerah di negeri itu untuk menjadikan perlumbaan kali ini acara terbesar setakat ini.

Kita mengharapkan rakyat Terengganu yang berkesempatan dan tidak dilanda musibah banjir akan sama-sama memeriahkan perlumbaan ini untuk merancakkan sambutan Tahun Melawat Terengganu 2013, selain menyokong usaha kerajaan untuk melahirkan pelumba basikal tempatan berbakat.

Dengan berbaki dua hari, khususnya esok dan hari Sabtu, rakyat Terengganu wajar mengambil kesempatan untuk menyokong peserta di tempat di laluan yang ditetapkan bagi membolehkan anak tempatan menaiki podium.


Kita amat yakin pelumba tempatan mampu memberikan saingan hebat kepada pelumba antarabangsa disamping pengalaman yang ditimba melalui kejohanan LTdL 2013 ini, akan melayakkan mereka ke pertandingan lebih berprestij pada peringkat Asia dan dunia selepas ini.

Sebahagian bahan sudah disiarkan melalui Bicara Terengganukita, Trg FM semalam (28 Februari 2013).

No comments:

Post a Comment