Monday, March 18, 2013

MBKT Belanja RM Juta Untuk Rumah Bandar


Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membelanjakan lebih kurang RM2.8 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Perumahan Bandar (bina baru rumah) di sekitar daerah Kuala Terengganu bermula 2011 hingga 2013.

Pengarah Jabatan Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, program yang mendapat peruntukan penuh daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu memberi peluang peserta e-Kasih mendapat kediaman lebih selesa.

“Kita banyak menerima permohonan dan terbaru untuk tahun ini (2013), disasarkan 40 rumah dapat disiapkan dan bakal diagih kepada mereka yang layak sebelum hujung tahun ini juga.

“Terdahulu, kita telah menyiapkan 11 rumah pada 2011, manakala 21 buah lagi pada tahun berikutnya yang sedang dalam proses.

“Dijangka, 21 rumah ini akan dapat dimulakan kerja-kerja pembinaan awal April dan mengambil masa lebih kurang dua bulan sebelum meneruskan pembinaan 40 rumah lagi yang berharga RM40,000," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah di bawah Program Bantuan Perumahan Bandar (bina baru rumah) di Balai Raya Kampung Paloh Sungai Kiat, di Kuala Trngganu.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan Dun (PPD) Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah; Ahli Majlis MBKT, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk.

Menurut Mohd Huzairil, program berbentuk tanggungjawab sosial korporat itu akan diadakan secara berterusan bagi memastikan keluarga miskin di Kuala Terengganu mampu memiliki rumah sendiri.

“Bagaimanapun, permohonan yang dihantar kepada kita yang turut mendapat sokongan daripada JKKK dan PPD akan disiasat terlebih dahulu sebelum menentukan seseorang penerima itu layak atau tidak disenaraikan di dalam program ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment