Sunday, March 24, 2013

Nama Dua Perajurit Terengganu Yang Terkorban Akan Diabadikan Pada Nama Jalan

 
Kerajaan Terengganu akan mengabadikan nama dua perwira negara berasal dari negeri ini yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada nama jalan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia sebagai tanda memperingati jasa dan pengorbanan mereka iaitu Asistan Supritendan (ASP) Zulkifli Mamat dan Asistant Komisioner (ACP) Ibrahim Lebar.

"Kami akan menamakan jalan di tempat kelahiran mereka sebagai tanda peringatan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan RM50,000 masing-masing kepada keluarga kedua-dua perajurit itu di Kampung Kubang Ikan dan Jabi, Jerteh Khamis.

 
Dalam kunjungan itu, Menteri Besar menyampaikan cek RM50,000 kepada ibu Allahyarham Zulkifli, Khatijah Ismail, 64 di rumahnya di Kampung Kubang Ikan dan jumlah yang sama kepada balu Allahyarham Ibrahim, Rosiah Dahlan, 50,di rumah keluarganya di Kampung Jabi, Setiu.

Hadir sama dalam majlis penyerahan cek berkenanan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Menteri Besar berkata, sebagai permulaan beliau sudah meminta Muhamad Pehimi Yusof dan Ramlan Ali, mencari jalan yang sesuai di kawasan masing-masing untuk menamakan dua perwira berkenaan.

Ahmad Said turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga menawarkan pinjaman pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) kepada kedua-dua anak Allahyarham Ibrahim yang sedang menuntut di sebuah universiti di Mesir dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat.

Balu Allahyarham Ibrahim, Rosiah Dahlan, 40, mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah banyak membantu keluarganya.

"Saya sangat bersyukur kerana kerajaan negeri banyak membantu dan wang sumbangan tersebut akan saya gunakan untuk merealisasikan impian arwah yang ingin melihat ketiga-tiga anak saya berjaya.

"Sumbangan ini sangat bermakna untuk kami harungi kehidupan selepas kehilangan ketua keluarga yang menjadi tempat kami berteduh," katanya.

Ibu Allahyarham Zulkifli, Khatijah Ismail, 62, menerima sumbangan mewakili menantunya Noraziah Noor, 30, yang tidak dapat hadir kerana kurang sihat.

"Saya akan serahkan wang ini kepada isteri arwah, terpulang kepadanya sama ada untuk dibuat upah haji atau untuk kegunaan pelajaran anak-anak," katanya selepas menerima sumbangan daripada menteri besar.


No comments:

Post a Comment